Sabtu, 29 Mei 2010

Kongres PKR: Tumpuan beralih ke Melayu

Lim Hong Siang



Hakisan sokongan Melayu terhadap Pakatan Rakyat, khususnya PKR, parti yang berbilang kaum ini dalam beberapa PRK yang lalu semakin dirasai bahangnya. Justeru itu, isu Melayu mendapat tumpuan dalam ucapan dasar Presidennya, malah PKR bakal menubuhkan pasukan khas untuk mengkaji isu Melayu dan Bumiputera.

"Kerisauan orang Melayu, akibat hasutan musuh dan propaganda media perdana bukan sedikit. Cabaran kita adalah menerangkan dasar parti kepada rakyat khususnya melalui program-program yang berkesan. Mereka harus tahu parti kita jelas mengenai kedudukan orang Melayu dan Bumiputra, malah Landasan Dasar Bersama Pakatan Rakyat secara terbuka mengiktiraf kedudukan orang Melayu dan Bumiputera seperti mana terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau menambah, "UMNO menghasut rakyat bahawa kononnya kita menggadaikan kepentingan orang Melayu, apabila kita berpendapat Dasar Ekonomi Baru (DEB) wajar dihapuskan. Kita harus meyakinkan rakyat, kita menentang DEB bukan kerana apa, tetapi kerana ia gagal mencapai tonggak utamanya, yakni, menjaga kepentingan orang Melayu, dan perlaksanaan memperkayakan keluarga pemimpin dan kroni UMNO dan meminggirkan rakyat termasuk Melayu, Orang Asal, Dayak, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi."

PKR menyatakan pendiriannya untuk memansuhkan DEB sejak Anwar Ibrahim (gambar kiri, kiri) dibebaskan dari penjara dan kembali semula ke arena politik tempatan. Ketua Umum PKR ini dikritik sebagai pengkhianat Melayu berikutan pendirian tersebut. Serangan tidak terhenti biarpun selepas PRU ke-12, apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat dituduh UMNO tidak menjaga kepentingan Melayu.

Menyedari senario ini, PKR mula mengalihkan tumpuannya kepada isu Melayu dalam kongres ini. Kongres Nasional Tahunan AMK, semalam mencadangkan agar satu Kongres Anak Melayu diadakan untuk mendengar masalah Melayu, dan memahami kerisauan Melayu terhadap PKR. Hari ini, ucapan Presiden PKR (gambar kiri, kanan) pula menyentuh isu Melayu secara khususnya dalam ucapan dasar Kongres Nasional Tahunan ke-6, yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC), Kota Bahru, Kelantan.

Jati diri dan daya saing

"Orang Melayu dan Bumiputera telah ditipu sekian lama oleh UMNO yang mahukan orang Melayu bergantung harap kepada kerajaan semata-mata; kerana UMNO sedar tatkala orang Melayu mula yakin dengan kemampuan mereka dan tidak lagi memerlukan sokongan ahli politik UMNO. Maka dasar ekonomi mereka adalah curahan bantuan kecilan agar rakyat terus mengharap dan bergantung, tidak merdeka dari segi ekonomi," katanya.

Wan Azizah menyambung, "Persoalan kedudukan orang Melayu adalah persoalan jati diri dan daya saing. Orang Melayu perlu berdaya saing dan dilengkapi ciri-ciri ilmuan, kreatif dan inovatif. KEADILAN berjuang untuk membina jatidiri, dan asas kekuatan ekonomi orang Melayu, Bumiputera dan rakyat Malaysia keseluruhannya."

Beliau memberi contoh bagaimana peruntukan saham orang Melayu diselewengkan oleh beberapa kerat sahaja sedangkan majoriti orang Melayu berputih mata. Ketirisan yang berlaku terlalu teruk, hinggakan daripada RM54 billion (saham) yang diperuntukkan; hari ini hanya tinggal RM2 billion sahaja yang kekal di tangan Bumiputra."

Beliau mengulas selanjutnya, "Amalan boros, tabiat memperkaya diri dan keluarga menghakis keyakinan dan daya saing. Akibatnya, kehidupan rakyat terhimpit. Harga barang keperluan meningkat; dan minyak naik lagi. Kini subsidi mahu ditarik-bukan subsidi IPP, AP atau konglomerat kaya; tetapi bantuan rakyat miskin terutamanya Bumiputera."

Pasukan Khas isu Melayu

"FELDA adalah satu lagi contoh yang jelas menunjukkan cengkaman UMNO kepada orang Melayu. Apabila Allahyarham Abdul Razak memulakan konsep tanah perancangan, tujuannya adalah untuk memberikan tanah kepada orang miskin agar mereka mempunyai aset untuk bergiat dalam kegiatan ekonomi. Maka peneroka yang menyertai skim akan berpeluang memiliki tanah sendiri untuk diusahakan. Falsafahnya jelas, iaitu memberikan hakmilik tanah kepada orang miskin yang bergiat dalam sektor pertanian melalui skim tanah perancangan."

"40 puluh tahun berlalu; apa yang telah berlaku?" tanya Wan Azizah. "Peneroka FELDA tidak lebih dari pekerja ladang yang makan gaji dengan FELDA, sebuah syarikat korporat milik kerajaan. Pelbagai sekatan dikenakan, penuh dengan putar belit hingga peneroka FELDA terpaksa ke mahkamah untuk mendapatkan hak mereka."

Wan Azizah menyambung, "Justeru, demi membongkar pengkhianatan ini dan menjelaskan bentuk-bentuk perubahan yang akan kita laksanakan dalam usaha kita menyelamatkan orang Melayu, KEADILAN akan menubuhkan satu pasukan khas yang akan mengkaji beberapa isu yang berkait rapat dengan orang Melayu - seperti isu FELDA, isu menaiktaraf kemahiran kakitangan awam, isu pengurusan harta Islam dan lain-lain."

"Pasukan khas ini terdiri dari pelbagai kaum kerana isu-isu bumiputera bukanlah isu eksklusif tetapi tanggungjawab itu akan dipikul, bersama oleh pimpinan pelbagai kaum - seperti mana isu yang rapat dengan kaum-kaum lain. Kita akan angkat isu bumiputera, Cina dan India terutama yang berpendapatan rendah dan miskin sebagai isu rakyat Malaysia, manakala hak masyarakat juga akan kita angkat sebagai isu rakyat Malaysia."

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.