Khamis, 27 Mei 2010

Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar Beli Menara PJH RM167 Juta

BERNAMA

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan memiliki bangunannya sendiri menerusi pembelian Menara PjH dari Putrajaya Holdings Sdn Bhd, bernilai RM167 juta.

Perjanjian pembelian bangunan itu ditandatangani hari ini antara kedua pihak, dengan kementerian diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Putrajaya Holdings diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azlan Abdul Karim.

Pembelian itu mengikut terma-terma dan syarat-syarat yang sama seperti Perjanjian Konsesi Bangunan-Bangunan Kerajaan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya dengan kerajaan membuat pembayaran selama 25 tahun.

Bangunan ini mempunyai dua blok, dengan blok 1 ketika ini menempatkan pejabat korporat Putrajaya Holdings, manakala blok 2 disewakan kepada beberapa pihak, termasuk kementerian itu sejak 2005.

Bangunan ini akan menyediakan ruang pejabat yang lebih selesa bagi menampung keperluan sebenar warga kerja kementerian selepas pertambahan dan peluasan fungsi yang meliputi pelaksanaan program membasmi kemiskinan bandar di seluruh negara.

"Usaha membeli bangunan ini bermula tiga tahun lepas," kata Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian itu.

Sejak itu, beberapa siri rundingan diadakan antara kementerian, Unit Perancang Ekonomi dan Putrajaya Holdings, sehinggalah persetujuan dimuktamadkan awal bulan ini, katanya. -

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.