Sabtu, 1 Mei 2010

Bela Aminulrasyid, elak kejadian berulang

Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR: Pembelaan ke atas Aminulrasyid Amzah yang ditembak polis awal pagi Isnin lalu adalah sangat penting untuk mengelak kejadian sama terus berulang, tegas Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Ingin saya tegaskan pembelaan atas kematian Allahyarham juga sangat penting untuk memperbetul kembali keadaan agar polis tidak bertindak sewenang-wenangnya. Polis perlu bertindak dengan penuh kebijaksanaan dan pertimbangan akal yang waras," katanya.

Serentak dengan itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu menggesa seluruh rakyat mengemukakan enam tuntutan keadilan untuk Aminulrasyid.

"Pertama, polis dan media mestilah menarik balik tuduhan dan tanggapan bahawa mangsa pembunuhan itu adalah penjenayah," katanya.

Polis dan media juga hendaklah memohon maaf secara pada keluarga mangsa kerana menuduh mangsa adalah penjenayah, kata Mahfuz.

"Ketiga, gantung tugas anggota polis yang terbabit dalam kejadian tembak mati ke atas mangsa.

"Keempat, reman anggota yang terbabit untuk elak dari kemungkinan kejadian menggugut saksi khususnya kawan-kawan mangsa," katanya.

Suhakam pula, katanya, hendaklah menjalankan siasatan sesuai dengan kedudukannya sebagai badan hak asasi manusia untuk menegakkan keadilan.

"Di samping kesemua itu, satu suruhanjaya bebas hendaklah ditubuhkan segera untuk menyiasat kes ini yang telah mencemar nama baik institusi diraja yang memayungi Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Mahfuz juga menasihatkan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar agar tidak mengeluarkan kenyataan celupar yang meminta ahli-ahli politik mengelak dari mengulas insiden tersebut.

"Adalah menjadi tanggungjawab warga PDRM untuk menuntut Ketua Polis Selangor menutup mulut dari mengeluarkan kenyataan celupar dan tidak membantu usaha memperbaiki imej PDRM," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz juga berkata, kenyataan ketua polis negeri itu juga dilihat sebagai satu percubaan yang terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat dari mempersoalkan integriti polis.

Kejadian yang menimpa Aminulrasyid, kata beliau, memburukkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan dan polis.

"Sedangkan tindakan yang diambil oleh ahli politik hanya bersifat untuk memberi pembelaan dan keadilan untuk mangsa dan keluarganya.

"Kepada anggota PDRM ingin saya nyatakan kenyataan ketua Polis Selangor telah menambah persepsi negatif rakyat terhadap polis," katanya.

Kelmarin, Khalid meminta semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak campur tangan dalam siasatan polis berhubung insiden tersebut.

Beliau berkata campur tangan sedemikian akan hanya mengganggu siasatan.

Dalam kejadian berkenaan kira-kira pukul 2 pagi, Aminulrasyid terbunuh selepas ditembak anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri dari sekatan polis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.