Sabtu, 29 Mei 2010

AMK Beri SPR Tempoh Seminggu Selesaikan Isu Borang, Penolong Pendaftar

SUARA KEADILAN

KOTA BHARU - Angkatan Muda KEADILAN memberi tempoh seminggu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menyelesaikan masalah teknikal berhubung usaha AMK untuk mendaftar pengundi baru di kalangan golongan muda yang sudah mencecah usia 21 tahun.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pihak SPR mengembar-gemburkan bahawa kira-kira 4.5 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar sebagai pengundi tetapi pada masa yang sama mengenakan pelbagai halangan dan kekangan seolah-olah mahu menyulitkan pendaftaran pengundi baru.

"Kita melihat kepimpinan SPR kebelakangan ini melengah-lengahkan usaha pendaftaran pengundi baru. Kita dihadapkan dengan berbagai alasan daripada SPR antara lain masalah teknikal seperti tidak cukup borang. Kalau inilah masalahnya kami sanggup membantu SPR untuk mencetak borang pendaftaran pengundi jika itu yang diinginkan untuk mempercepatkan proses pendaftaran," kata Shamsul secara sinis pada sidang media AMK petang tadi.

Shamsul mengambil contoh di Melaka di mana beliau sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Melaka menghadapi masalah SPR yang tidak responsif kepada isu yang dibangkitkan.

"Kami sudah menulis dua kali kepada SPR Melaka dan terpaksa menunggu 2, 3 bulan sebelum mendapat jawapan dan bertemu dengan pengarah negeri. Jawapan yang diberi hanya 'ini keputusan Putrajaya'. Saya melihat SPR seolah-olah cuba mensabotaj usaha KEADILAN untuk menarik golongan muda mendaftar sebagai pengundi dan masalah yang sama dihadapi oleh rakan Pakatan Rakyat DAP dan PAS," jelas beliau.

Pada sidang media itu beberapa wakil rakyat muda KEADILAN turut hadir untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sikap acuh tidak acuh yang dipamerkan oleh SPR sennagai badan pelaksana pilihan raya di negara ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar merasa kecewa kerana usaha beliau untuk menambah bilangan penolong pendaftar pilihan raya gagal kerana SPR memberi alasan bahawa pelantikan baru kini dibekukan.

"Umpamanya di Lembah Pantai kami diberi 300 borang dan mengembalikan 260 tetapi tidak ada susulan selepas itu apa yang terjadi dengan borang tersebut samada sudah digazetkan.

"Kami mahu SPR tunaikan janji kepada rakyat unbtujk menjalankan tugas secara telus dan profesional dan berikan borang yang secukupnya suapaya kami boleh bantu SPR daftar seramai mungkin pengundi baru," kata Nurul Izzah.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jejerak, Sim Tze Tzin merungut kerana setiap DUN di Pulau Pinang hanya diberi sebanyak 100 borang sahaja.

"Ini tindakan yang amat pelek dan tidak adil. 100 borang memang tidak mencukupi kerana setiap kali kami mengadakan kempen daftar pengundi sekurang-kurang 400 ke 500 mendaftar. Jadi kami terpaksalah mengambil sedikit borang sana dan sini daripada rakan DAP dan PAS untuk mencukupkan borang," kata Sim.

Pandangan beliau dikongsi oleh Timbalan Ketua AMK, Fariz Musa yang juga Pengarah Biro Pilihan Raya AMK yang berkata Umno tidak mengalami sebarang masalah untuk mendaftar pengundi malah SPR memberikan kerjasama sepenuhnya berbanding layanan yang diberikan kepada Pakatan Rakyat.

ADUN Rawang, Gan Pei Nie mendesak SPR supaya menjalankan tanggungjawabnya tanpa diskriminasi dan tidak cuba melengah-lengah pendaftaran pemilih baru.

ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyuarakan kebimbangan apabila pengundi yang bermastautin di DUN beliau didapati mengundi di kawasan Parlimen dan DUN yang berlainan semasa pilihan raya umum lalu.

"Di United Kongdom umpamanya di mana rakyat tidak ada kad pengenalan, mereka boleh mendaftar hari ini dan mengundi keesokkan hari tetapi rakyat Malaysia ada kad pengenalan tetapi proses pendaftaran mengambil masa samapi enam bulan," kata Nik Nazmi.

Beliau seterusnya mencadangkan agar kempen pilihan raya bersih, BERSIH diadakan semula bagi memastikan SPR menjalankan tugas secara telus dan adil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.