KUCHING - Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Roland Sagah Wee Inn patah tiga tulang rusuk sebelah kanan apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya terjatuh dalam gaung di Jalan Puncak Borneo, petang ini.
Katanya, beliau percaya punca kemalangan mungkin ada kaitan dengan masalah brek kenderaan tersebut.
Bercakap kepada pemberita selepas menerima rawatan di Unit Kemalangan dan Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, katanya, selain beliau turut berada di dalam kenderaan tersebut ialah seorang pemandu dan tiga lagi penumpang lain tetapi kesemuanya tidak mengalami kecederaan parah.
Roland yang kelihatan tenang berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang selepas menghadiri mesyuarat berkaitan dengan tanah dengan pegawai Jabatan Tanah dan Survei dan ketua-ketua kaum selain daripada penyampaian sumbangan Gawai di sana yang berakhir pada pukul 1 petang.
"Semasa menuruni puncak tersebut, kenderaan tiba-tiba hilang kawalan dan terus terjatuh ke dalam gaung," katanya sambil menambah semasa terjatuh tersebut kenderaan berpusing dua kali dan melanggar pokok di sekitarnya.
Beliau berkata, kenderaan tersebut berhenti berpusing apabila terlanggar sepohon pokok yang ada dalam gaung tersebut.
"Semasa kenderaan berpusing saya hanya mampu berdoa mengharapkan tiada apa-apa berlaku kepada semua yang berada di dalam kenderaan, nasib baik tiada yang mendapat kecederaan serius," kata Roland.
"Selepas kemalangan berlaku, kebetulan ada kenderaan pacuan empat roda lain melalui kawasan kemalangan tersebut yang digunakan untuk acara dihadiri oleh Anggota Parlimen Mambong yang juga Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit," tambahnya.
"Bila mereka menyedari kemalangan berlaku, usaha menyelamat dijalankan termasuk menghantar kami ke HUS pada petang ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.