KUALA LUMPUR: Nama pengganti Yang Dipertua Dewan Negara yang baru akan diketahui pada hari pertama sidang berkenaan, 26 April ini.
Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Ir Wong Foon Meng berkata, pada sidang itu Perdana Menteri akan mengumumkan secara rasmi nama penggantinya dan diikuti dengan majlis angkat sumpah jawatan.
"Tempoh perkhidmatan saya sebagai Yang Dipertua berakhir hari ini dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan membawakan usul pada hari pertama sidang untuk membuat pelantikan baru," katanya kepada media selepas melancarkan Pameran Kesedaran HIV/Aids di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Foon Meng, 56, menjadi Yang Dipertua Dewan Negara selama sembilan bulan bermula 7 Julai lalu selepas menggantikan Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar di Terengganu itu berharap bakal penggantinya dapat memainkan peranan secara berkesan.
Menurutnya peranan penting sebagai seorang Yang Dipertua Dewan Negara ialah bagi menyeimbangkan kuasa Dewan Rakyat.
"Saya berpuas hati kerana pada masa sekarang kebanyakan senator telah membuat persediaan sebelum berbahas dengan fakta dan perangkaan yang mencukupi.
"Mereka juga banyak memberi cadangan yang bernas dan ada yang telah diambil perhatian oleh kerajaan dan situasi ini berbeza berbanding 10 atau 20 tahun dahulu," katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kerajaan telah mempunyai nama individu yang akan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara baru.
"Kita dah ada (nama), tunggulah dia angkat sumpah dulu, nanti taulah semua," katanya.
Ditanya sama ada individu yang bakal dilantik itu merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara ketika ini, beliau berkata: "Tak semestinya... tak semestinya."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.