Jumaat, 30 April 2010

Seluruh Jentera BN Hanya Mampu Raih Majoriti Kecil

Oleh Halik Zaman


TUARAN - Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sabah, Ahmad Thamrin Jaini menyatakan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang baru lalu tidak menggambarkan parti itu kehilangan sokongan daripada rakyat Hulu Selangor.

Malah sokongan rakyat nampak bertambah walaupun di kawasan Hulu Selangor ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri adalah milik Barisan Nasional.

Ahmad Thamrin berkata demikian dalam sesi dialog dan analisa politik kepada 200 petugas KEADILAN cabang Tuaran yang dianjurkan oleh Datuk Kalakau Untol di Kampung Roun Topokan.

"Seluruh tenaga Umno-BN termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, semua Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, semua Presiden parti komponan dan disokong pula oleh projek beratus juta ringgit serta rasuah secara terang-terangan, namun kemenangan tipis yang tidak berbaloi berpihak kepada Barisan Nasional. Sepatutnya majoriti yang BN dapat tidak kurang dari 10,000 undi ke atas.

"TV1, TV2, TV3 dan Astro memainkan peranan terus mengutuk Pakatan Rakyat berhabis-habisan serta pula buat 'coverage' calon BN sehingga Kamalanathan buat roti canai, makan dan minum pun ditayangkan dalam TV. Ini satu kempen yang tidak bermaruah dan hasilnya satu kemenangan yang memalukan," tegas Ahmad Thamrin baru-baru ini.

Beliau berkata sebaliknya rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian undi yang diperolehi oleh calon Pakatan Rakyat.

"Sekurang-kurangnya BN walaupun menang tapi malu besar cuma mendapat majoriti 1,000 lebih sikit padahal atas tiket parti yang memerintah kerajaan kononnya 1Malaysia," perlinya.

Ahmad Thamrin menyeru kepada semua tenaga kerja Pakatan Rakyat di Sabah melipatgandakan usaha mereka bagi menghadapi jentera Umno-BNpada pilihan raya akan datang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.