Rabu, 28 April 2010

Rintihan pelajar dewasa Masjid Negara

Nuris


Saya adalah salah seorang pelajar dewasa pengajian al-Quran (dewasa) Masjid Negara (MN).

Hasil daripada pemotongan peruntukan untuk semua agensi kerajaan oleh kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang ini, Masjid Negara dan pengajian-pengajian agama di Masjid Negara juga menerima tempiasnya yang tidak kurang hebatnya.

Sebahagian besar dan mungkin semua guru-guru al-Quran di MN yang baru menerima surat pelantikan dan yang telah hampir 15 tahun berkhidmat/mengajar bakal diberhentikan dengan alasan tiada lagi peruntukan dari pihak kerajaan.

Kenapa perkara ini boleh terjadi? Adakah kerajaan pimpinan Perdana Menteri sekarang ini adalah kerajaan yang paling miskin sehinggakan guru-guru agama yang mendidik rakyat ke arah peningkatan sakhsiah diri dan untuk mencari keberkatan Ilahi juga menjadi mangsa?

Bulan Mei 2010 akan datang ramai di kalangan guru-guru kami yang kebanyakan dari mereka yang hanya bekerja sendiri akan menerima tempias yang sangat hebat ini. Jika kita fikir semula bagaimana mereka ingin meneruskan hidup apabila sebahagian besar dari pendapatan mereka bakal hilang. Kami amat simpati dengan nasib yang bakal menimpa mereka ini kerana merekalah yang selama ini berkorban jiwa dan raganya untuk kami (rakyat) dan negara.

Apakah ertinya slogan 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan' jika ramai yang menjadi mangsa kerakusan pemimpin. Kita tunggulah nanti siapa pula yang menjadi mangsa yang berikutnya.

Adakah mereka itu kontraktor, yang tiada lagi projek untuk dibuat, atau siswazah yang tidak dapat kerja kerana semua pengambilan telah dibekukan. Rakyat menjadi mangsa untuk mencapai keutamaan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.