Rabu, 28 April 2010

PRK Hulu Selangor: MCA 0 PAS 0

Zukri Aksah



Banyak telah ditanya kepada saya jauh sebelum kedua-dua pihak yang bertanding di Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor menamakan calon masing-masing. Sebagai seorang yang ada latar belakang, atau tepatnya ikatan dengan Pakatan Rakyat, sudah tentulah orang menanya saya tentang peluang PKR dan PR di sana.

Saya katakan agak sukar, kerana Hulu Selangor adalah kawasan 50-50, Allayarham Zainal Abidin Ahmad pun hanya menang dengan majoriti tipis 198 undi sahaja. Bagi PKR dan PR umumnya, mereka masuk dalam pilihanraya kecil ini dengan tiga kesukaran, tetapi dengan hanya satu kelebihan.

Tiga kesukaran, Satu kelebihan

Kesukaran pertama, adalah pengundi India yang ada sekitar 19-20% di parlimen tersebut. Tsunami politik Mac 2008 yang menyaksikan berpusingnya sokongan pengundi India 360° kepada PR adalah kerana keberkesanan gerakan Hindraf ketika itu. Namun selepas PRU 2008 itu, Hindraf telah berpecah menjadi beberapa parti politik, dengan ada yang pro dan ada yang kontra parti pemerintah. Serentak dengan itu pola pengundian pengundi India juga berpecah, ini sudah dibuktikan ketika Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang yang menyaksikan kemenangan Isa Samad di sana.

Kesukaran kedua adalah mencari calon yang setaraf statusnya dengan Allayarham Zainal Abidin Ahmad. Sebagai bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, sudah tentulah wujud rasa hormat dan segan yang tinggi di kalangan rakyat Selangor khususnya di Hulu Selangor terhadap beliau. Sementara kesukaran ketiga adalah masalah dalaman PKR Selangor yang meletup tidak berapa lama sebelum berlangsungnya Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor ini, khususnya di kawasan Menteri Besar Selangor sendiri di Kuala Selangor.

PKR dan PR hanya ada satu kelebihan, Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor berlangsung di dalam negeri yang dikuasai oleh PR, Selangor! Kebetulan pula Selangor diterajui oleh PKR.

Meningkatkan sokongan Melayu

Dalam kesedaran bahawa sudah tidak mungkin akan berlaku sokongan mutlak pengundi India kepada PKR dan PR, maka bagi PKR dan PR meneruskan kemenangan di kawasan Hulu Selangor ini adalah dengan mencuba meningkatkan sokongan pengundi Melayu, dengan andaian momentum pengundi Cina adalah sama, kalaupun tidak lebih baik dengan PRU 2008 dahulu.

Di kem BN pula, mereka tahu mereka ada kelebihan undi Melayu berdasarkan PRU 2008, tetapi sedikit pergerakan dalam pola pengundian pengundi India masih tidak membuatkan mereka merasa selamat. Untuk meramal sebuah kemenangan secara paling meyakinkan di Hulu Selangor, BN memerlukan MCA memainkan peranan mereka mengalihkan sokongan pengundi Cina dari PR kepada mereka, kalaupun tidak sepenuhnya, sebahagian pun sudah cukup. MCA yang baru pulih dari krisis kepimpinan yang panjang dilihat tidak lagi punya masalah untuk menggerakkan jentera mereka seoptimum mungkin.

Maka berlangsunglah PRK Hulu Selangor, Zaid Ibrahim melawan P.Kamalanathan, dengan kempen tujuh hari tujuh malamnya, diakhiri dengan hari pengundian pada Ahad, 25 April 2010 yang lalu. Keputusannya sudah kita ketahui semua, PKR dan PR menerima tamparan hebat bila kalah dalam negeri yang dikuasainya sendiri, BN menang dengan majoriti 1,725 undi.

MCA gagal

Menang tetap menang walaupun satu undi, namun untuk sebuah pilihanraya kecil yang memperlihatkan seluruh kekuatan jentera kedua-dua pihak yang bertanding, dari seluruh negara dikerah untuk berkampung selama tempoh berkempen di situ, majoriti 1,725 dari 48,269 pengundi yang keluar mengundi (tidak termasuk undi rosak) bukanlah satu angka kemenangan besar buat BN.

Sebabnya, seperti sudah ditelah ramai orang, BN gagal mengalih sokongan pengundi Cina terhadap mereka, bahkan undi Cina terhadap PKR dan PR makin mengukuh. Bagi parti seperti BN yang mana di dalamnya terkandung komponen-komponen parti yang mewakili kaum-kaum di Malaysia, kegagalan menarik sokongan pengundi Cina ini sudah tentulah membawa maksud kegagalan parti komponen yang mewakili kaum Cinanya, iaitu MCA berperanan di Hulu Selangor.

Rupa-rupanya MCA yang sudah dilihat sihat-walafiat dan segar-bugar masih tidak berupaya dan gagal untuk melepasi kelayakan masa acara pecut 100 meter.

Di sebalik kegagalan menarik kembali sokongan pengundi Cina ini BN meraih kemenangan di Hulu Selangor, menang kerana migrasi sokongan pengundi Melayu terus berlaku dari PR kepada mereka. Kenapa?

PR (Pakatan Rakyat) bukanlah sebuah perikatan yang menggabungkan parti-parti berasaskan kaum seperti BN. PKR adalah parti, saya kira berideologikan centrism yang berafiliasi dengan falsafah realpolitik, mempromosi polisi-polisi moderat dan merupakan puak tengah di antara penganut ideologi kanan dan kiri. Komposisi kaum dalam PKR sehingga hari ini menampakkan kesungguhan mereka dalam mengekalkan bentuk parti mereka ini. Umum juga tidak mentakrifkan PKR sebagai parti Melayu atau parti kaum B atau C, umum lebih merujuk "PKR as PKR".

DAP pula secara dasarnya adalah sebuah parti sosialis demokrat, itulah yang dipromosi lewat doktrin-doktrin seperti Malaysian Malaysia dan Middle Malaysia. Tetapi itu sekadar pengakuan sebuah parti, dalam politik, yang lebih penting adalah pandangan umum. Walaupun ada pemimpin bukan Cina dalam DAP, umum lebih melihat DAP sebagai pencabar MCA dalam merebut pasaran politik Cina di Malaysia, dan tanpa ragu, jika berdasarkan pandangan umum ini, DAP ternyata berjaya, apalagi bila bercakap soal Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang baru berlalu.

PAS pesaing UMNO

PAS, sebuah lagi komponen dalam PR adalah parti yang berasaskan Islam dan memperjuangkan Islam. Secara idealnya, Islam memang universal dan Islam bukan milik sesuatu kaum, tetapi dalam konteks Malaysia, memperkatakan tentang Islam akan secara langsung memperkatakan tentang Melayu, kerana Melayu di Malaysia tidak seperti di negara-negara lain, wajib Islam, ini definisi Melayu oleh Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, selain namanya parti Islam, PAS juga dikenal sebagai parti yang dihuni oleh kumpulan orang Melayu kedua terbesar selepas UMNO, dengan kata lainnya PAS adalah pesaing UMNO dalam merebut pasaran politik Melayu di Malaysia. Kejayaan BN melalui UMNO dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Hulu Selangor kali ini mengerakkan penambahan sokongan pengundi Melayu terhadap mereka juga membawa maksud kegagalan PAS membawa sokongan pengundi Melayu terhadap PR. Kritikalnya, kegagalan PAS ini sedikit-sebanyak menyumbang kepada kekalahan PR di Hulu Selangor. Tidak seperti MCA, PAS mungkin mampu melepasi masa kelayakan acara pecut politik 100 meter ini, tetapi dek kerana usia, PAS mungkin tertinggal dua tiga depa berbanding UMNO yang berstatus "Baru."

Akan ada orang beragumentasi dengan saya bahawa puluhan juta ringgit peruntukan, projek dan pampasan diturunkan ke Hulu Selangor oleh Kerajaan Persekutuan @ BN bertujuan "membeli" undi di sana. Sambil tidak menafikan kewujudan senario sebegitu sepanjang tempoh kempen di Hulu Selangor, saya juga pasti ia berlaku dalam pilihanraya-pilihanraya kecil sebelum ini seperti di Manek Urai dan Kuala Terengganu, tetapi ketika itu momentum rakyat tidak tergugat.

Soalnya apakah momentum itu telah mati? Atau tsunami politik telah reda? Entahlah, sebab yang kalah di Hulu Selangor adalah MCA dan PAS, satu dari BN dan satu dari PR.

*Zukri Aksah ialah bekas aktivis keADILan (PKN - PKR), pernah terpilih sebagai Exco AMK selama dua penggal. Beliau meninggalkan PKR pada tahun 2007, kini sebagai kolumnis Harakahdaily.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.