Rabu, 14 April 2010

Pilihan raya negeri:Zambry takut kalah

Raja Ahmad Al-Hiss

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merasa lucu di atas penafian Zambry Abdul Kadir yang membayangkan bahawa tiada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang terdekat walau pun kajian menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) akan boleh memenanginya kembali adalah pandangan tidal tepat.

DPPN Pk merasakan BN sebenarnya takut dan bacul jika PRN diadakan walau pun ketika BN yang menjadi pentadbir kerajaan negeri kerana bimbang akan kalah teruk dengan kemarahan sebenar rakyat yang selama ini dipendam. Apa pun alasan yang diutarakan Zambry, hanya rakyat boleh menentukan perkara sebenar.

Perkara yang menarik juga, adakah PRN bakal diadakan dalam masa yang terdekat? Adakah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menjadi bebas tidak lagi menyokong BN? Mungkin perkara yang sama juga akan dilakukan oleh Zambry untuk memohon Seri Paduka Sultan Perak membubarkan DUN Perak sepertimana yang telah pernah dilakukan oleh Mohammad Nizar Jamaluddin dahulu.

Atau Seri Paduka Sultan Perak tidak memperkenan permohonan Zambry sepertimana yang telah berlaku semasa Nizar berbuat demikian. Apa pun, DPPN Pk dapat menghidu UMNO-BN telah membuat persediaan bagi sebarang kemungkinan dan ahli serta penyokong Pakatan Rakyat (PR) harus bersedia daripada sekarang.

DPPN Pk bimbang dengan suasana yang tidak kukuh ini akan menyukarkan pertumbuhan ekonomi yang masih dilihat tidak bermaya dengan suasana kemelut Negeri Perak ini yang tiada kesudahannya. Lumpuh ekonomi, maka lumpuhlah kerajaan negeri kerana pelaburan tidak diterima dan masuk walau apa pun alasan yang diberikan atau lakonan yang ditayangkan.

*Kenyataan media oleh Raja Ahmad Al-Hiss selaku Setiausaha Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.