Rabu, 14 April 2010

Pilihan Raya Kecil Muhyiddin Pun Tumpang Semangkuk

Oleh Sofi Wahab


Malang sungguh bagi rakyat Malaysia apabila mempunyai pimpinan yang pemikirannya sama seperti JKKK Umno di kampung-kampung. Sangkaan saya hanya menteri-menteri sahaja yang standard pemikiran mereka di tahap tersebut tetapi semalam terbongkar lagi satu rahasia di mana Timbalan Perdana Menteri pun dua kali lima sahaja.

Semalam Muhyiddin Yassin berkata (saya petik dari media pengampu Umno), jika pengundi Hulu Selangor memilih Zaid sebagai wakil rakyat mereka, maka harapan penduduk untuk melihat pembangunan di kawasan tersebut tidak akan tercapai.

Sekali lagi politik pembangunan dan fizikal dijadikan hujah oleh pemimpin 'JKKK' nombor 2 Umno ini.

Apakah Muhyiddin tidak perasan bahawa apa yang Umno/BN buat setelah 50 tahun lebih memerintah Selangor, baru sekarang perasan Hulu Selangor tiada pembangunan. Apa yang Palanivel buat selama dua tiga penggal jadi Ahli Parlimen Hulu Selangor.

Selain itu benarkan Hulu Selangor tiada pembangunan langsung. Berapa ramai rakyat yang masih menggunakan pelita dan air perigi untuk keperluan harian mereka.

Berapa ramai yang masih memakai cawat dan bertelanjang bulat? Berapa ramai yang tiada rumah langsung?

Saya hairan mengapa begitu cetek pemikiran pemimpin Umno yang hanya memandang pembangunan sebagai satu-satunya keperluan rakyat. Sedangkan rakyat amat memerlukan pembangunan spiritual, insan dan lain-lain. Malah lebih mendesak rakyat mahu keluar dari penderitaan dan keperitan hidup akibat kadar jenayah yang membimbangkan, maksiat berleluasa, gejala buang anak, ekonomi yang tidak menentu, harga barangan yang sangat membebankan, hak asasi manusia yang dinafikan, rasuah yang kronik dan lain-lain.

Muhyiddin seperti juga JKKK Umno di kampung masih mengamalkan cara politik lama tahun 50-an, 60-an di zaman elektrik tiada, air tiada, jalan tanah merah, TV tiada dan lain-lain.

Bila agaknya pemimpin Umno dan ahli-ahli bawahannya hendak berubah? Dah tahun 2010 mereka masih bermimpin hidup di zaman awal-awal merdeka.

SIAPA KUAT UMNO ATAU MIC?

Nampaknya pertarungan sebenar Pilihanraya Kecil ini bukannya antara PKR dan BN tetapi antara Umno dan MIC.

Sejak kerusi ini kosong Umno dan MIC berebut untuk meletakkan calon masing-masing. Pada awalnya Umno mahu meletakkan bekas Naib Presiden Umno, Mat 'Tyson' Taib tetapi ditolak mentah-mentah oleh MIC yang siang-siang lagi menegaskan kerusi itu milik tradisi MIC. Presiden MIC, Samy Vellu sejak dari mula lagi menamakan Timbalannya, G Palanivel sebagai calon yang dicadangkan oleh MIC.

Selepas Umno mengalah dan memberikan laluan kepada MIC timbul pula satu cadangan baru dari Umno. Mereka mencadangkan anak tempatan, Mugilan yang juga Timbalan Ketua Pemuda MIC Pusat untuk menjadi calon. Namun ianya ditolak dengan tegas oleh Samy Vellu.

Malah maklumat dari sumber dalaman parti yang menyatakan bahawa jika Mugilan dipilih oleh Pengerusi BN sebagai calon, kepemimpinan MIC akan memecat Mugilan kerana melobi bagi kerusi itu dan juga mensabotaj aktiviti parti serta mencemarkan nama Palanivel.

Menurut beliau lagi, ketika mesyuarat baru-baru ini di Parlimen, presiden MIC,Samy Vellu dilaporkan bertikam lidah dengan Muhyiddin berhubung pemilihan calon BN itu.

Sumber itu berkata Muhyiddin berkata Mugilan adalah pilihan pemimpin BN tetapi pemimpin MIC yang hadir kurang menyenangi keputusan itu.

Terbukti kem BN benar-benar dalam dilema sekarang. Bagi Umno jika Mugilan dipilih maka peluang untuk BN menang adalah cerah, namun andaikata Palanivel yang dijadikan ayam sabung Umno berpendapat kemenangan BN mungkin hanya sekadar dalam mimpi sahaja.

Jelaslah sekarang ini bahawa pertarungan sebenar di Hulu Selangor telah bermula iaitu pertentangan antara Umno dan MIC. Nampaknya gayanya mereka sekarang berada dalam keadaan ditelan mati mak diluah mati bapak.

Apakah Umno akan membuli MIC, atau MIC akan memperkudakan Umno. Kita tunggu dan lihat. Andai Palanivel dipilih maka terbukti Umno diperkuda oleh MIC, manakala jika Mugilan dipilih, lambat laun MIC akan ditendang oleh Umno dari BN dan digantikan dengan MAKKAL SAKHTI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.