Rabu, 28 April 2010

Perlu Siasatan Bebas Elak Imej PDRM Terus Terhakis

TV SELANGOR


SHAH ALAM : Pimpinan Pakatan Rakyat khususnya pemimpin kerajaan Selangor bertekad untuk memastikan remaja 15 tahun, Aminulrashid yang mati ditembak polis, mendapat pembelaan dan siasatan berwibawa demi menegakkan keadilan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad antara yang menegur polis kerana membuat dakwaan bahawa mangsa mungkin penjenayah tanpa siasatan menyeluruh atau mengambil kira kesan akibat dakwaan seperti itu.

“Impaknya sangat menyeluruh dan menghasilkan satu persepsi begitu buruk terhadap rakan-rakan sekolah. Aminulrashid seorang pelajar yang baik dan dikenali oleh warga Seksyen 11 dan pelajar Seksyen 7.

"Aminulrashid juga seorang ahli sukan dan dikenali oleh jawatankuasa surau di situ,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Khalid mengingatkan polis betapa kredibiliti Polis Diraja Malaysia Diraja (PDRM) semakin terhakis jika ia tidak memastikan siasatan yang telus dan mengambil tindakan susulan yang tegas.

"Imej polis semakin terjejas dan terhakis hanya kerana ada usaha-usaha hendak selamatkan anggota polis. Jadi saya mendesak satu siasatan bertanggungjawap dan telus dan tiada ada usaha cover up.”

Exco Kerajaan Selangor, Yaakob Sapari pula menyatakan kejadian sedemikian bukan kesilapan pertama yang dilakukan polis dan mereka wajar mengaku membuat kesilapan.

"Polis jangan sesekali menafikan salah laku kesilapan polis," katanya.

Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Nik Nazmi Nik Ahmad berpendapat penubuhan suruhanjaya diraja perlu bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang kepada anak-anak tidak berdosa pada masa depan.

"Kena ada suruhanjaya diraja. Kerajaan pula perlu akur dengan keputusan suruhanjaya diraja. Kita dapati ia tidak akan berlaku sebelum ini hingga mengakibatkan anak-anak yang tak berdosa menjadi mangsa," katanya.

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam pula mempersoal kekerapan polis yang tiba-tiba memiliki ' bukti ' mencurigakan setiap kali kredibiliti pasukan keselamatan itu dipertikai

"Perlu ada badan siasatan bebas dalam kes sebegini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.