PETALING JAYA: Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) menyambut baik keputusan sebulat suara Mufti yang bermesyuarat semalam bahawa mereka ingin perkataan 'agama' dalam Jawatankuasa Khas Untuk Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama digugurkan dan digantikan dengan 'kaum'.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, cadangan itu amat tepat bagi elak kekeliruan yang mungkin timbul kelak.
"Apa jua urusan yang menyentuh dan melibatkan Islam terletak di bawah bidang kuasa Raja-Raja Melayu tidak boleh disentuh dan jelas dalam Perlembagaan," katanya kepada mStar Online menerusi satu khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini. Ibrahim berkata, Perkasa berharap semua pihak menghormati keputusan itu dan meminta pihak terbabit supaya jangan menyalahtafsirkannya.
Katanya, ini kerana Islam adalah agama wahyu dan tidak boleh dipersoal mengikut logik akal terutama yang berkaitan hukum yang jelas dalam Al-Quran dan Hadis.
"Perkasa dengan rendah diri memohon kabinet menghormati pandangan mufti serta selari dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
"Ada cara-cara lain untuk mengatasi masalah yang timbul dengan syarat semua pihak menghormati keluhuran perlembagaan dan prinsip asas hormat-menghormati antara kaum," katanya.
Ibrahim turut meminta pihak berkenaan supaya menerima hakikat, 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.
Beliau memberitahu negara ini telah melalui berbagai-bagai cabaran selama 52 tahun mencapai kemerdekaan.
Oleh itu, katanya, berbagai kaum rakyat manusia pasti dapat hidup aman dan damai untuk beberapa ratus tahun akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.