Selasa, 13 April 2010

Peminggiran golongan Asnaf bukti kegagalan wakil rakyat BN

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan seorang Ahli Parlimen (AP) dari Barisan Nasional gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk di Kampung Sentosa, Batang Kali yang terletak dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Ini terbukti apabila kediaman seorang penduduk yang dilanda rebut sejak enam tahun lalu bukan sahaja terbiar malah gagal mendapat bantuan dari wakil rakyat itu.

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Negeri, Rodziah Ismail dalam rangka turun padang bertekad untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, itu berkata, masalah yang dihadapi oleh penduduk itu, Ismail Mokhtar, 39, sejak enam tahun lalu akan diatasi segera menerusi bantuan Kerajaan Prihatin.

Menurutnya, kos sebanyak RM35,000 akan diperuntukkan bagi membina semula kediaman tersebut. “Rumah ini rosak disebabkan ribut yang melanda pada tahun 2004 lalu dan sehingga kini tiada usaha pembaikpulihan dilakukan oleh mana-mana pihak.

“Keadaannya cukup menyedihkan dan tidak dapat digunakan kerana pemiliknya dihambat masalah kewangan. “Sekarang, dia bersama isteri dan anak-anaknya terpaksa menyewa di sebuah rumah di Bandar Utama Batang Kali,” katanya yang turut mengadakan lawatan ke beberapa buah kampung berhampiran termasuk di bahagian Rasa.

Rodziah turut memberitahu, Ismail akan terus mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) seperti mana sebelum ini selain beliau sendiri akan memantau perkembangan itu dan berjanji akan memanjangkannya ke mesyuarat khas kerajaan negeri.

“Setelah enam tahun perkara itu berlalu dan sudah dua wakil rakyat daripada Barisan Nasional berganti, namun ia masih gagal diatasi,” tambahnya.

Wakil rakyat itu ialah bekas AP BN selama empat penggal d Hulu Selangor, G. Palanivel, bekas Adun yang juga Pengerusi Yayasan Bakti Kemiskinan (YBK), Zainal Abidin Sakom dan Adun Umno-BN ketika ini, Mohd Isa Abu Kasim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.