Jumaat, 30 April 2010

Musa Perlu Letak Jawatan Atau Dipecat Segera

Oleh Rusnizam Mahat


SHAH ALAM - Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengugut menarik balik anggotanya dari menjaga keselamatan awam disifatkan sebagai angkuh, biadap dan melampaui batas.

Lantas Musa perlu meletak jawatan segera atau dipecat daripada jawatannya serta merta kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Fariz Musa.

Fariz berkata AMK menggesa Musa meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara dan tidak membazirkan wang pembayar cukai sekiranya gagal memikul tanggungjawab berhubung insiden kematian pelajar berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah akibat ditembak polis 26 April lalu.

Insiden tersebut menyebabkan kemarahan rakyat kepada PDRM memuncak dengan begitu cepat.

Di dalam laman sosial facebook, hampir 40,000 menyertai kumpulan 'Kami Benci Kekejaman Polis- Justice For Aminulrasyid' yang menggambarkan tahap kemarahan warganegara terhadap kezaliman anggota polis.

Berikutan itu, Musa mengugut untuk mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal keselamatan negara sekiranya itu merupakan pilihan rakyat.

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya dalam laporan media.

Fariz menganggap Musa selaku orang nombor satu dalam PDRM tidak seharusnya membuat kenyataan berbentuk ugutan seperti itu apatah lagi beliau adalah penjawat awam dan "hamba" kepada rakyat.

"Kenyataan Musa Hassan secara jelas menunjukkan kenyataan yang tidak beretika dan bertanggungjawab. Sepatutnya beliau memberikan jaminan khidmat keselamatan yang terbaik kepada rakyat dan bukan membuat kenyataan secara semborono begitu," ujarnya ketika dihubungi Suara KEADILAN.

Menurut Fariz, Ketua Polis Negara seharusnya mengkaji dan menilai dengan lebih terperinci pendekatan yang efektif untuk memastikan insiden yang menimpa Allahyarham Aminulrashid tidak berulang.

"Ini menunjukkan Musa tidak begitu serius menangani isu ini dan perkara salah guna kuasa anggota polis bukan pertama kali berlaku sepanjang dia menjadi KPN. Kalau dia tidak sanggup memikul tanggungjawab ini, tanggungjawab itu harus dipikul dengan KPN baru yang lebih bertanggungjawab dan Musa harus meletakkan jawatan sebagai KPN," tegasnya.

Menurut Fariz, dalam kes Aminulrasyid jelas menunjukkan pihak polis tidak mematuhi prosedur dan bertindak secara melulu sehingga menyebabkan kematian remaja berkenaan.

Tambah beliau, AMK akan mengkaji kenyataan tersebut secara teliti dan tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis terhadap Musa.

"Kenyataan Musa bersifat kebudak-budakkan tetapi kita menganggap ia sebagai sesuatu yang serius apabila dia yang mengetuai sebuah organisasi keselamatan yang begitu penting membuat kenyataan yang bersifat ugutan kepada rakyat," kata beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.