HULU BERNAM - Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar menyarankan agar pekerja Ladang Kalumpang menubuhkan sebuah badan bertindak untuk menyelesaikan masalah penempatan perumahan mereka.
Langkah ini akan memudahkan pihak pengurusan PKNS menempatkan kira-kira 70 keluarga (hampir 90% terdiri daripada masyarakat India) dari ladang tersebut untuk mendiami rumah teres kos rendah di Bernam Jaya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan dialog dengan penduduk ladang tersebut baru-baru ini.
Turut hadir pada sesi dialog itu termasuk Saari Sungib, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang yang juga pembantu Exco Perumahan, pihak pengurusan PKNS serta pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Bernam.
"Masalah penduduk bermula apabila kerajaan Umno-BN di bawah Menteri Besar Muhammad Muhd Taib melalui PKNS membeli tanah ladang tersebut dari syarikat perladangan KL Kepong sekitar tahun 90an untuk menjadikannya sebagai sebuah pusat bandar baru bagi kawasan Hulu Bernam," terang Dr Xavier.
Walau bagaimanapun rancangan tersebut terbengkalai ekoran kemelesetan ekonomi dan juga pertukaran pucuk pimpinan negeri pada masa itu.
Ekoran itu penempatan pekerja ladang itu juga turut dipinggirkan hinggalah isu tersebut timbul semula baru-baru ini.
Kerajaan negeri melalui PKNS sedang berusaha untuk menempatkan pekerja terlibat untuk membeli rumah teres kos rendah dua tingkat dengan harga RM42,000 dan berharap penyelesaian dapat dicapai dalam masa dua bulan.
"Kerajaan BN Selangor telah meminggirkan keperluan masyarakat ladang tersebut lebih 20 tahun yang lalu dan seterusnya melepaskan masalah tersebut untuk ditanggung oleh kerajaan Pakatan Rakyat," jelas beliau.
Dr Xavier juga melahirkan rasa sedihnya terhadap sikap Ahli Parlimen BN dari MIC yang telah mewakili kawasan tersebut selama 3 penggal sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pada PRU Mac 2008 yang lalu.
Tegasnya bekas wakil rakyat Hulu Selangor, Datuk G Palanivel gagal menyelesaikan masalah pekerja ladang tersebut sambil menyatakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat sanggup mencari penyelesaian terhadap masalah itu.
Dalam majlis itu Xavier turut menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada 48 orang ahli keluarga pekerja miskin di ladang tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.