|
|
KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mencapai pertumbuhan yang berkekalan sebanyak 6.0 peratus untuk muncul sebagai sebuah negara maju mengikut Model Ekonomi Baru (MEB) menjelang 2020.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, kegagalan berbuat demikian akan menjadikan sasaran untuk meraih pendapatan AS$15,000 hingga AS$20,000 sukar dicapai.
''Ini merupakan satu cabaran besar kepada negara untuk mencapai status negara maju dan negara berpendapatan tinggi mengikut MEB.
''Malaysia perlu mencapai pertumbuhan enam peratus dari sekarang sehingga 2020,'' katanya pada taklimat Ekonomi Korporat di sini pada hari ini.
Menurutnya, untuk mencapai pertumbuhan tersebut, aliran kemasukan pelaburan asing dan swasta perlu kukuh.
Pada taklimat itu, beliau berkata, MIER telah menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 5.2 peratus bagi tahun ini berbanding 3.7 peratus sebelum ini.
Dr. Zakariah menambah, peningkatan itu disebabkan pemulihan dalam keyakinan pengguna dan perdagangan serta kenaikan dalam harga komoditi.
Ekonomi negara diramal mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.0 peratus pada 2011, menurut beliau,
''Pemulihan ekonomi kali ini lebih luas dengan semua sektor ekonomi merekodkan pertumbuhan kukuh,'' jelasnya.
Keyakinan perniagaan dan pengguna yang diukur oleh Indeks Sentimen Pengguna MIER dan Indeks Persekitaran Perniagaan, masing-masing melonjak 4.6 mata dan 5.2 mata pada suku pertama 2010.
Kadar pengangguran juga susut daripada 4.0 peratus pada suku pertama 2009 kepada 3.5 peratus pada suku keempat 2009.
Petunjuk lain dalam perbelanjaan swasta ialah jualan kereta yang naik kepada 7.5 peratus pada bulan Februari lalu.
''Dengan petunjuk-petunjuk ini, MIER menjangka perbelanjaan swasta berkembang sebanyak 5.6 peratus pada 2010 dan 6.8 peratus pada tahun depan,'' tambahnya.
Ditanya tentang unjuran ekonomi pada suku pertama tahun ini, Zakariah berkata: ''MIER tidak membuat unjuran (KDNK) secara sukuan tetapi apa yang boleh saya katakan (gambarannya) untuk separuh pertama amat menggalakkan''.
MIER meramalkan inflasi harga pengguna naik kepada 2.2 peratus pada tahun ini.
Malah, katanya, kadar inflasi dijangka naik lebih pantas, MIER mengunjurkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan kepada 2.75 peratus pada akhir tahun ini.
''Pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan bakal menyaksikan peningkatan OPR kepada 3.25 peratus tahun depan,'' tambah Dr. Zakariah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.