Jumaat, 2 April 2010

MEB: Fomca, MTUC Bantah Penggunaan Dana KWSP

TV SELANGOR


SHAH ALAM : Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna-pengguna Malaysia (FOMCA) dan Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC) mahu kerajaan memberi jaminan sebarang pelaburan melibatkan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di luar negara, selamat dan terjamin.

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abd Rahman dan Pengerusi MUTC, Syed Shahir Syed Mohamud senada dalam isu melibatkan MEB yang dicadang Perdana Menteri yang seakan-akan mempertaruhkan setiap sen simpanan wang rakyat.

Kedua-dua pemimpin itu bimbang pelaburan yang dibuat KWSP tidak memberi pulangan yang sewajarnya kepada pencarum, bahkan sebaliknya menghakis dana sedia ada.

"Perlu ada jaminan sekiranya kerajaan membenarkan KWSP melabur di luar negara, maka kerajaan perlu memastikan ia adalah pelaburan yang selamat.

"Sebab, kita dapati banyak pelaburan yang dibuat KWSP tidak memberi manfaat kepada pengguna dari segi pulangan umpamanya pelaburan dalam sektor berisiko tinggi," kata kepada TV Selangor, hari ini.

Mohd Yusof juga menyatakan Fomca bimbang dengan sikap Jawatankuasa Pelaburan yang sering melabur tanpa memaklumkan Lembaga Pengarah KWSP seperti yang dibangkitkan Kongres Kesatuan Pekerja (MTUC).

"Masalahnya jawatankuasa pelaburan tidak dianggotai oleh wakil pekerja, sebaliknya dianggotai pihak profesional dari segi pelaburan.

"Dari segi pemantauan dan 'check and balance', kita dapati masih kurang. Malah, apa juga yang dilaburkan kadang kala tidak dimaklumkan kepada Lembaga Pengarah," kata Mohd Yusof lagi.

Syed Shahir pula tidak menolak kemungkinan kekaburan fakta berkaitan MEB mungkin bertujuan menutup kelemahan dasar itu yang hanya menguntungkan golongan atasan sebaliknya meminggirkan masyarakat bawahan.

“Kita tak nampak jelas apakah tumpuannya terhadap golongan bawahan. Seolah-olah wujud andaian bahawa apabila selesai masalah ekonomi, maka selesailah masalah pekerja atau orang bawahan,” katanya.

Beliau jmenganggap cakap-cakap kerajaan mahu meningkatkan pendapatan rakyat hanya omong kosong, sebaliknya bimbang amalan penswastaan menyebabkan pemerintah terpaksa menampung kerugian syarikat dengan menggunakan wang rakyat.

“Kita mendapati banyak kelemahan dalam hal berkaitan penswastaan. Malah ada yang terpaksa diambil balik oleh pemerintah. Misalnya, syarikat penerbangan Malaysia yang suatu waktu dulu diswasta tapi terpaksa ditampung balik," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kerajaan bahawa pelaburan menggunakan dana KWSP perlu dilakukan secara penuh waspada dengan mempertimbangkan setiap risiko.

“KWSP kena berhati-hati betul, cermat berhemat untuk memastikan wang pencarum yang untuk simpanan hari tua itu, selamat dan memberi pulangan munasabah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.