Isnin, 12 April 2010

PKR umum calon esok, BN letak anak tempatan

MALAYSIA KINI



Esok, teka-teki mengenai siapakah calon PKR bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor akan terjawab.

Pengumuman calon PKR itu akan dibuat dalam majlis yang akan berlangsung di pusat komuniti Serendah jam 8.30 malam esok.

Tarikh pengumuman tersebut turut dimuatkan dalam blog ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Anwar, majlis tersebut akan turut dihadiri presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng.

Turut dijadualkan hadir ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, naib presiden PKR Azmin Ali, setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution dan ahli parlimem Bukit Gantang dari PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Sebelum ini beberapa nama disebut-sebut layak dipilih untuk mewakili PKR bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Bagaimanapun, penyelaras Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim (kanan), besar kemungkinan dijangka terpilih.

Seorang lagi nama yang disebut ialah pakar bedah saraf, Dr Halili Rahmat.

Kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad baru-baru ini akibat barah otak.

Manakala BN pula akan mengumumkan calonnya pada hari Khamis ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada 17 April dan pengundian pada 25 April.

Sementara itu, ketika majlis penyerahan geran permulaan prasekolah swasta di Tadika Wawasan Gemilang, di Bandar Sungai Buaya, Rawang, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional akan mengemukakan seorang anak tempatan di kawasan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.