Rabu, 28 April 2010

Kertas siasatan pada DPP selewat-lewat Jumaat

BERNAMA



Polis kini dalam proses melengkapkan keterangan saksi bagi membolehkan kertas siasatan dihantar kepada pendakwa raya selewat-lewatnya Jumaat ini berhubung kes remaja 15 tahun - Aminulrasyid Amzah - mati ditembak polis kelmarin.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis akan memanggil semula rakan allahyarham Amirulrasyid Amzah hari ini bagi mendapatkan keterangan penuh.

Beliau memberitahu demikian ketika ditemui di majlis perasmian insignia baru dan penyerahan kenderaan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di ibunegara hari ini.

"Kita berharap dapat melengkapkan siasatan sebelum hujung minggu ini untuk kita hantar kepada pendakwa raya bagi membincangkan hasil laporan siasatan yang
diperolehi," katanya.

Beliau berkata keterangan remaja tersebut telah diambil sebelum ini, namun masih terdapat maklumat-makumat yang tidak jelas dan lengkap yang mungkin akan diperolehi pada hari ini bagi melengkapkan siasatan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi di Seksyen 11, Shah Alam, Isnin lepas, Amirulrasyid meninggal dunia selepas terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri dalam satu sekatan polis.

Sementara itu , Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi jaminan polis tidak akan menyembunyikan sebarang fakta berhubung siasatan insiden tersebut.

"K
ami tidak sembunyikan apa-apa..., kita akan jalankan siasatan secara adil dan telus bagi memastikan kebenarannya," katanya ketika ditemui di majlis yang sama.

Beliau berharap masyarakat tidak membuat andaian dan hukuman awal sebelum laporan siasatan lengkap diperolehi.

Polis akan membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah mengambil langkah segera dengan menubuhkan satu panel khas bagi menyiasat insiden itu, katanya.

Musa yang turut melahirkan rasa sedih atas insiden tersebut turut menasihatkan agar ibu bapa perlu lebih prihatin menjaga anak-anak mereka bagi mengelakkan mereka daripada keluar rumah pada waktu yang tidak sepatutnya dan tidak melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.