SHAH ALAM: Karpal Singh, peguam mendiang Teoh Beng Hock mempertikaikan campur tangan pejabat Peguam Negara mengenai perbuatan menghina mahkamah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohammad Nazri Abdul Aziz dalam inkues hari ini.
Pejabat Peguam Negara diwakili oleh Amerjeet Singh berhubung permohonan yang dibuat oleh keluarga Teoh mendakwa Nazri menghina mahkamah kerana berkata, pakar patologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand telah berbohong.
Karpal berkata, "Peguam Negara tidak perlu campur tangan secara tiba-tiba dalam perkara ini kerana Nazri menyatakan beliau tidak takut menghadapi sebarang kemungkinan berhubung kenyataannya itu."
"Tindakan tegas harus diambil kerana Nazri menghina mahkamah hingga menyebabkan kes ini tergendala," kata beliau kepada para pemberita di luar mahkamah.
"Saya menentang campur tangan peguam negara dan meminta agar Koroner membatalkan permohonan peguam negara dengan serta merta," katanya lagi.
Menurut Karpal, pertelingkahan yang berlaku di kamar mahkamah antara beliau dan Amerjeet adalah wajar kerana secara tiba-tiba peguam negara menfailkan permohonan itu pada tengahari ini.
Sementara itu, seorang lagi peguam Teoh, Gobind Singh Deo yang turut hadir berkata, "pihak mahkamah mempunyai hak untuk membatalkan permohonan (peguam negara) tersebut yang tidak mengikut prosedur.
Beliau berkata,"saya meminta agar mahkamah menolak permohonan secara tiba-tiba itu dan berharap agar kes Nazri menghina mahkamah akan terus dibicarakan.
"Peguam Negara tidak perlu mempertahankan menteri yang bercakap besar yang kononnya boleh terlepas dari hukuman tentang kelantangannya menuduh Dr Pornthip sebagai ‘pembohong’," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.