Oleh Faizal Ezzany
BUKIT SENTOSA - Ketua Umum KEADILAN menyeru golongan muda supaya menolak Umno dan Barisan yang menzalimi rakyat dan menganggap sokongan anak muda kepada parti yang rakus kuasa itu sesuatu yang memalukan dan tidak setanding dengan semangat perjuangan generasi itu.
Berucap dihadapan lebih 1,000 penyokong Pakatan Rakyat pada majlis penerangan di Dewan Komuniti Bukit Sentosa semalam Anwar menggesa golongan muda meninggalkan Umno kerana nilai kezaliman dan penyelewengan yang dilakukan parti itu akan merosakkan jiwa golongan muda dan mendatangkan kemudaratan.
"Golongan muda perlu bangkit dan tinggalkan Umno kerana perjuangan mereka ini jelas zalim dan menindas rakyat, kalau golongan muda ini masih ikut Umno lama kelamaan akan terikut dengan rentak Umno yang mendahulukan rasuah, fitnah, menindas rakyat dan mengambil hak rakyat.
"Saya mahukan golongan muda ini menentang kezaliman Umno agar pemerintahan Umno terus berkubur, kalahkan mereka di Hulu Selangor. Jelas pada rakyat sekarang apa kezaliman yang mereka telah lakukan selama lebih 50 tahun.
"Kita harap golongan inilah yang dapat membentuk negara ini pada masa akan datang, kita tidak mahu golongan muda yang dididik oleh Umno memerintah negara ini sebab apa kalau mereka yang mendapat pendidikan dari Umno sudah tentu acuan yang sama juga yang mereka akan bawahkan.
"Jadi sekarang golongan muda perlu sedar, buka mata kerana Umno perlu kita kalahkan sekarang ini. Kita perlu sekat kezaliman yang mereka lakukan," kata beliau disambut tepukan gemuruh.
Tegas Anwar lagi golongan muda perlu membina kekuatan dalaman menentang kezaliman Umno-BN.
"Golongan muda terutamanya kena ingat segala apa yang saya katakan ini adalah mesej kepada mereka untuk hadapi masa yang akan datang, orang muda yang kuat kerana daya juang mereka, orang muda yang hebat kerana bencikan kezaliman. Sebab itu di Hulu Selangor kita tidak takut kerana golongan mudah ini bencikan kezaliman dan tidak sekongkol dengan Umno," kata Ketua Pembangkang itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.