Khamis, 1 April 2010

BN Perak masih trauma ditolak rakyat

Johari Jaafar

IPOH: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain (gambar) berkata, perjalanan sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berakhir semalam sedikit sebanyak menunjukkan kepimpinan BN negeri masih lagi dibelenggu trauma penolakan rakyat terhadap mereka.

Beliau berkata, sebelum sidang Dun bermula, soalan-soalan daripada Adun Pakatan Rakyat (PR) ditolak oleh Speaker haram, dengan memberikan alasan-alasan yang tidak munasabah.

Bahkan, katanya sidang Dun yang dipenuhi polis, dengan layanan yang tidak adil kepada Adun PR menunjukkan BN memang takutkan bayang-bayang sendiri.

Selain itu, tambahnya, pemeriksaan keselamatan yang melampau oleh pihak polis, cuba menanamkan rasa takut dan bimbang kepada Adun-Adun PR yang hadir adalah satu tindakan yang tidak profesional dalam sebuah negara demokrasi.

Pihak media juga, katanya tidak dibenarkan masuk ke dalam sidang Dun yang tidak berlaku sebelum ini.

Menurut beliau di dalam blognya, persidangan itu hampir-hampir menjadi persidangan pihak polis, apabila jumlah polis yang ada di dalam dewan terlalu ramai.

Tambahnya, Adun PR juga tidak dibenarkan masuk ke dewan dengan pintu yang dipilih mereka, atas alasan pintu berkenaan ialah pintu Adun BN.

Baginya, semua adegan yang berlaku pada persidangan Dun itu sebenarnya adalah manifestasi ketakutan BN terhadap kekuatan dan solidariti PR yang tidak goyah walaupun ditekan dari semua sudut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.