KUALA LUMPUR - Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Tan Sri Abu Zahar Ujang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Negara menggantikan penyandang, Datuk Wong Foon Meng yang tamat tempoh perkhidmatannya hari ini.
Menurut sumber Utusan Malaysia, surat pelantikan Abu Zahar telah dikeluarkan pada penghujung Mac lalu.
"Pemilihan beliau amat bertepatan dengan latar belakangnya yang kaya dengan pengalaman sebagai bekas pegawai polis, peguam bela, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen," kata sumber berkenaan di sini hari ini.
Foon Meng dalam satu majlis di bangunan Parlimen mengesahkan tempoh perkhidmatannya berakhir hari ini dan penggantinya akan diketahui pada hari pertama Persidangan Dewan Negara pada 26 April ini.
Beliau berkata, nama penggantinya akan diumumkan secara rasmi pada sidang itu diikuti dengan majlis mengangkat sumpah jawatan.
Abu Zahar memulakan kariernya pada 1964 sebagai Inspektor Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Penguasa Polis di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman pada 1979.
Sewaktu berkhidmat dalam pasukan beruniform itu, beliau melanjutkan pelajaran selama tiga tahun di Lincoln's Inn London dengan cuti tanpa gaji.
Pada 1980 hingga Jun 1986, Abu Zahar meneruskan profesion guaman di ibu kota sebelum terpilih sebagai ADUN Pilah dan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.
Pada 1991, beliau mempertahankan kerusi DUN berkenaan sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuala Pilah selama satu penggal bermula 1995 hingga 1999.
Pada Januari 1997 hingga Mac 2003, Abu Zahar dilantik sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Selain sebagai Presiden Mubarak, pada masa ini beliau turut memegang beberapa jawatan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Penasihat Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Pemandu Majlis Perunding Melayu (MPM).
Sementara itu, Abu Zahar sewaktu dihubungi enggan membuat sebarang ulasan kerana pelantikan itu adalah dalam bidang kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Tunggulah pengumuman dibuat, pada masa ini saya tidak perlu komen apa-apa," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.