Khamis, 29 April 2010

27 Mei Untuk Pengurusan Kes Permohonan Sivakumar Cabar Keputusan SPR

BERNAMA

KUALA LUMPUR - Tarikh 27 Mei ditetapkan bagi pengurusan kes berhubung permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V. Sivakumar dan enam yang lain untuk diadakan semakan perundangan bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi dewan itu.

Pada 22 Okt tahun lepas, mereka diberi kebenaran membuat permohonan itu bagi membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan sebagai tidak kosong kerusi Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang setelah ketiga-tiga penyandangnya menjadi anggota Bebas.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan ketika menolak bantahan awal oleh Pejabat Peguam Negara berhubung permohonan itu berkata bahawa Sivakumar dan yang lain terdiri Chen Fook Chye, Tai Sing Ng, A.Sivanesan, Ahmad Sabry Wahab, Abdul Latif Ariffin dan Foo Hon Wai mempunyai locus standi untuk mencabar keputusan SPR itu.

Dalam permohonan itu mereka menamakan SPR dan ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) sebagai responden.

Dalam permohonan itu, mereka mahu supaya SPR mengisytiharkan ketiga-tiga kerusi itu kosong selain meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar ketiga-tiga penyandangnya dilarang daripada menjalankan tugas sebagai anggota dewan.

Pada pilihan raya umum 2008, Jamaluddin dan Osman memenangi kerusi masing-masing sebagai calon Parti Keadilan Rakyat manakala Hee menang atas tiket DAP tetapi kemudian keluar parti masing-masing dan menjadi wakil rakyat Bebas.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.