KELIBAT Perdana Menteri ke-6 Datuk Seri Najib Tun Razak nampaknya semakin terserlah taringnya di mana orang bawahannya terutama sekali para Menteri kabinetnya; biarpun pada mulanya agak sinis dan perlahan namun sengatnya semakin lama semakin berbisa.
Malahan ada di antara ‘orang terpenting’ (VVIP) yang berada di luar serambi jawatan kerajaan yang hanya berstatus ‘Ahli Yang Berhormat’ berlumba-lumba memasang ‘tukang lapor’ atau lebih dikenali sebagai ‘Pegawai Akhbar’ yang berperanan sebagai pelapor di media cetak mahu pun elektronik berkaitan aktiviti masing-masing dalam misi ‘turun padang’ seperti yang disyaratkan polisi pimpinan Najib ketika ini.
Najib yang bijak memerangkap mereka dengan berkata bahawa semua pemimpin BN bermula dari Menteri sehingga ke bawah paras Wakil Rakyat biasa akan dinilai menerusi sistem KPI sebagai penanda aras untuk mengukur sejauh mana keupayaan mereka memimpin rakyat dan membangunkan kawasan masing-masing di mana prestasi mereka dijadikan tiket kelayakkan untuk dicalonkan semula pada PRU13.
Sesungguhnya usaha Najib itu hampir tercapai apabila hampir 90 peratus para wakil rakyat BN bergegas turun padang setiap bulan menyahut arahan beliau di mana pergerakan mereka (YB) dikuatkan lagi dengan pelbagai laporan aktiviti yang menarik sepertimana terpampang di akhbar-akhbar setiap hari yang disambut Najib dengan keriangan dan ‘ketawa lebar’ seperti yang kita lihat di kaca TV.
“Syukurlah. Selamatlah aku kali ini. Terima kasih YB-YB kamu benar-benar setia pada aku,” mungkin ungkapan sebegitu telah tersirat dalam hati beliau tetapi tiada sesiapa pun yang dapat membacanya.
Namun satu perkara yang amat memeranjatkan beliau ketika bajet 2010 yang dibentangkan kali terakhir oleh Najib hampir-hampir tidak lulus di Parlimen. Ini persoalan terkini sering bermain di kepala Perdana Menteri ke-6. Siapakah pula lagi YB yang tidak setia?
Berbalik kepada segmen persoalan media, bahawa mungkinkah ada YB-YB yang menyimpan strategi menidakkan kepimpinan Najib kerana memerangkap mereka dengan KPI dan NKRA di mana mereka terpaksa menambah bajet peribadi untuk mengupah ‘Pegawai Akhbar’ sebagai jalan keluar menyelamatkan mereka dari terjerat perangkap KPI.
“Selepas YB-YB ini selamat hasil laporan Pegawai Akhbar mereka yang sangat memberangsangkan. Ada segelintir YB yang sehingga hari ini tidak pernah memuji malah untuk mengucapkan ‘Terima Kasih Media…well done media” di khalayak ramai?
Sebaliknya, apa yang kita biasa dengar, laporan media kurang tepat. Media membesar besarkan isu menentang kerajaan. Media tidak sehaluan dengan dasar kerajaan dan banyak lagi. Pendeknya, mereka (YB) menganggap media sebagai ‘sasaran cemuhan’ mereka apabila gelagat pelapor media itu tidak mengikut arahan atau telunjuk mereka.
Harus diperhatikan bahawa skop peranan media lebih luas di mana ada kalanya peranan pelapor media seolah-olah sama peranannya dengan ‘Pegawai Penyiasat dalam Pasukan Polis’ kerana media juga memerlukan bukti-bukti yang sahih sebelum merungkai sesuatu perkara yang berunsurkan jenayah rasuah, penyelewengan dan penindasan masyarakat etnik.
Di negara-negara maju misalnya, mereka menghargai dan menghormati peranan media kerana pada tanggapan mereka bahawa dunia maklumat tidak akan ada, tanpa pelapor media. Oleh kerana itu mereka menganggap media dan pelapornya sangat penting dalam sesuatu acara majlis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.