Isnin, 1 Mac 2010

Protes: Pengimport ikan henti operasi

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH


ALOR SETAR – Para pengimport dan pemborong ikan memutuskan untuk menghentikan operasi membawa masuk ikan ke negara ini sebagai protes berikutan arahan penguatkuasaan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) yang berkuat kuasa mulai esok.

Pengerusi Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia, Datuk Yusoff Ismail (gambar) berkata, keputusan itu dibuat kerana mereka tidak bersetuju dengan arahan tersebut yang dianggap sebagai satu bebanan berat untuk dilaksanakan.

Sehubungan itu, katanya, operasi membawa masuk ikan sama ada menerusi pintu darat atau laut akan dihentikan mulai esok.

“Keputusan ini menyaksikan lebih 1,000 tan metrik ikan import tidak akan dibawa masuk sehari yang sekali gus boleh menjejaskan rutin harian industri perikanan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari.

Arahan penggunaan KIBFG secara berperingkat-peringkat dilaporkan akan tetap bermula esok sekali pun ada segelintir pengimport ikan mengugut untuk menghentikan operasi membawa masuk ikan ke negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar yang kesal dengan tindakan kumpulan terbabit berkata, pihak berkenaan sudah diberi peluang untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka semasa sesi dialog dengan beliau pada Khamis lalu.

Pergerakan Pemuda UMNO turut dilaporkan menggesa kerajaan supaya bertegas dan tidak melayan kerenah pemborong dan pengimport ikan yang berkeras tidak menggunakan KIBFG.

Mohd. Yusoff berkata, pihaknya terpaksa menghentikan operasi membawa masuk ikan import dari Thailand dan Indonesia kerana arahan penggunaan KIBFG amat menyusahkan mereka dan dianggap tidak praktikal.

Dakwanya, harga kotak ikan berinsulasi itu terlalu mahal sehingga mengakibatkan pemborong menanggung kos operasi yang tinggi selain tong ikan biasa yang digunakan sejak 20 tahun lalu masih berfungsi dengan elok.

Penggunaan kotak berinsulasi juga, katanya, akan menambah kos pengangkutan kerana memerlukan banyak lori untuk mengangkutnya berbanding tong plastik.

“Ini antara masalah yang perlu difahami mengapa kami terpaksa bertindak demikian,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.