KUALA LUMPUR: Jualan akhbar arus perdana ada kemungkinan besar menjadi semakin merosot jika muka depannya banyak memainkan isu politik semata-mata, kata Editor Berita Harian Zainor Said-Varsiti.
"Oleh itu, kita juga perlu memasukkan muka depan akhbar itu dan hal itu perlu ditampung dengan berita bercorak jenayah supaya jualan akhbar itu meningkat," kata beliau dalam 'Career Talk' sempena Minggu Media 2010, Universiti Malaya di sini, hari ini.
Menurutnya, laporan berita jenayah itu adakalanya bersifat sensasi seperti kes jenayah liwat, dan lain-lain kes jenayah yang perlu ditumpukan.
Namun, tambah Zainor, laporan jenayah itu tidak perlu disensasikan secara keterlaluan sehingga menimbulkan ketegangan di pihak pembaca.
"Seperti amalan di Berita Harian, kita tidak menjadikan hal ini seperti Metro dan Kosmo. Kami dalam dilema, citarasa pembaca sukar diramal. Pernah kita meletakkan berita jenayah. Maka, kita lihat ada juga kenaikan jualan akhbar itu nampaknya.
"Mungkin, hari ini pembaca tidak minat sangat kenyataan berbau politik. Jadi, kita sebagai akhbar arus perdana, kita juga berada dalam keadaan dilema untuk membuat pemilihan berita-berita ini.
"Untuk membangunkan fikiran rakyat, pengamal media sentiasa berdepan dengan masalah seperti itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.