Rabu, 17 Mac 2010

Media Perlu Tanggung Risiko Papar Berita Tidak Betul - Hishammuddin

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengingatkan media yang sengaja mensensasikan sesuatu isu untuk melariskan jualan supaya bersedia dikenakan tindakan sekiranya berita yang dilaporkan itu menyalahi fakta.

Beliau berkata media sepatutnya perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu sebelum sesuatu berita itu disiarkan dan harus bertanggungjawab atas apa yang dilaporkan.

"Biarpun hubungan kementerian saya dengan pihak media sudah lama terjalin tetapi kita tidak pilih bulu kerana mana-mana media yang melaporkan perkara tidak benar akan dikenakan tindakan.

"Media harus berhadapan dengan apa jua situasi kerana mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perbuatan tersebut (laporan berita)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Agenda Pengurusan Warga Asing Merangkumi Isu Pemerdagangan Orang di Parlimen di sini.

Mengenai surat tunjuk sebab yang dikenakan ke atas akhbar China Press berhubung laporannya tentang peletakan jawatan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Hishammuddin berkata pihaknya telah menerima surat jawapan daripada syarikat tersebut.

Beliau berkata surat tersebut sedang dalam proses penelitian dan pengumuman mengenai kedudukan akhbar itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Akhbar China Press baru-baru ini melaporkan bahawa Musa akan bersara sebelum sambutan Hari Polis pada 25 Mac ini dan tempatnya akan diganti oleh Timbalannya Tan Sri Ismail Omar.

Akhbar itu yang memetik sumber, melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Hishammuddin telah menerima surat peletakan jawatan.

Hishammuddin dan Musa menafikan laporan tersebut.

Hishammuddin berkata kementeriannya sentiasa memantau dan memandang serius terhadap sebarang penyiaran berita isu-isu sensitif yang dilaporkan media.

"Seperti kes melibatkan majalah Al-Islam dan The Star, kita telah memanggil pihak terbabit untuk memberi penjelasan terperinci dan mereka telah pun menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas penyiaran berita itu kepada pihak yang berkenaan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.