Pakatan Rakyat akan membawa usul tergempar pada sidang Dun Terengganu bulan depan bersabit tindakan kerajaan persekutuan menggunakan royalti minyak negeri itu untuk membiayai projek-projek mewah dan program Syarikat Perumahan Negara Berhad
(SPNB).
Dana berkenaan didakwa disalurkan untuk projek di negeri-negeri lain melalui tabung khas yang diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Syed Azman Syed Ahmad berkata, Terengganu menerima royalti minyak dari tahun 2000 hingga 2009 yang keseluruhannya berjumlah RM15.4 billion.
Namun rakyat Terengganu tidak banyak melihat hasil royalti itu. Ini kerana Kerajaan Persekutuan menggunakan dana itu untuk membiayai projek-projek mewah seperti kejohanan Monsoon Cup, pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur yang masih tergendala.
"Royalti minyak ini juga diagihkan kepada SPNB seluruh negara dan ini menyebabkan rakyat Terengganu rugi dan tidak mendapat apa -apa manafaat.
"Ini berlaku adalah akibat salah urus dan salah tadbir oleh pemimpin Umno-BN dan saya sendiri akan membawa usul tergempar ini ke sidang Dun bulan depan," tegasnya semasa dihubungi Suara Keadilan baru-baru ini.
Menurut beliau, SPNB telah menggunakan RM873 juta wang royalti minyak Terengganu untuk melaksanakan projek perumahan di seluruh negara dan hanya RM102 juta dibelanjakan untuk projek berkenaan di negeri ini.
Dalam pada itu, SPNB masih berhutang sebanyak RM771 juta dengan kerajaan negeri manakala tuntutan untuk wang royalti yang dijadikan dana khas untuk negeri-negeri lain adalah sebanyak RM717 juta.
Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Terengganu Abdul Rahman Yusof pula menyifatkan royalti minyak digunakan sebagai peruntukan persekutuan yang sepatutnya berasingan daripada peruntukan pusat kepada negeri.
"Contohnya penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya, lapangan terbang di Terengganu, mereka gunakan wang royalti tetapi di Kedah mereka dapat peruntukan pusat.
"Salahguna oleh kerajaan BN ini banyak, semasa kerajaan Barisan Alternatif ambil alih kerajaan negeri pada 1999, wang royalti ditukar menjadi wang ihsan dan perbelanjaan tidak melalui kerajaan negeri tetapi Jabatan Pembangunan Pusat (JPP)," katanya.
Tender dan projek JPP ini dilaksanakan secara tertutup dan tidak mengikut proses tender biasa dan diberikan secara rundingan terus.
Akibatnya banyak projek yang dilaksanakan JPP ini gagal, contohnya seperti stadium, stesen bas dan masjid yang rosak kerana tidak mengikut spesifikasi ataupun piawaian yang sepatutnya.
"Kerajaan harus siasat semua projek yang dilaksanakan bawah JPP sejak 1999 yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, tetapi hanya kepada segelintir kontraktor di kalangan mereka, kebanyakannya bukan berasal daripada Terengganu," ujar Rahman lagi.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan Kerajaan Terengganu hanya menerima wang royalti minyak sebanyak RM650 juta daripada RM1.4 bilion yang dituntut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.