Oleh: ZULKIFLI YAHAYA
Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Kedah mencabar Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Abdul Razak membuktikan dengan fakta mengenai statistik terkini ekonomi Kedah bagi membuktikan Kedah tidak mundur di bawah Pakatan Rakyat. Pengerusinya Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail juga meminta meminta Menteri Besar mendedahkan kemasukan pelabur asing yang dikatakan mampu memacu pembangunan di Kedah.
Kenyataan ADUN Guar Chempedak itu adalah ekoran kenyataan Dato’ Shafie Afdhal dalam perasmian Konvensyen Ekonomi Negeri Kedah anjuran Gabem. ”Tiada dasar-dasar baru dalam sektor ekonomi diperkenalkan, termasuk perancangan dan strategi yang jelas untuk memajukan ekonomi negeri,” ujar Shafie melemparkan tuduhan.
Gabem sebagai NGO yang memperjuangkan kemajuan ekonomi Melayu sewajarnya mencari muafakat di kalangan seluruh orang Melayu untuk bersama membina kekuatan ekonomi yang ketinggalan antara langit dengan bumi berbanding kaum lain.
Gabem wajar memulakan langkah permuafakatan dengan ukhwah dan perpaduan sesama Melayu terlebih dahulu; sebagai asas yang kuat untuk memajukan bangsa di bidang ekonomi. Tetapi Gabem memilih untuk memecahbelahkan perpaduan orang Melayu dengan membelasah pihak lain, menghentam kerajaan yang mentadbir sebuah negeri majoriti Melayu. Dengan menyalahkan pihak lain mereka fikir selesailah masalah ekonomi Melayu. Apapun kita jangan berkecil hati dengan Gabem, kerana ia adalah NGO yang lahir dari perut Umno. Bapak borek, anak rintik. Bagi mereka perjuangan mengangkat martabat ekonomi Melayu bertumpu hanya kepada membangunkan usahawan Umno bukan orang Melayu keseluruhan. Sampai nak masuk tender kerajaan pun mesti ahli Umno.
Berbalik kepada isu kononnya Kedah mundur, ia tidak lebih dari kenyataan politik. Senang jadi pembangkang kerana mereka hanya perlu mengeluarkan kenyataan tanpa berfikir. Kadang-kadang fikir pakai kepala lutut pun boleh, sebab mereka tidak perlu merancang dan bekerja. Kerja mereka membelasah pihak lawan. Betul atau salah, perkara kedua. Jadi kerajaan kena befikir, merancang dan bekerja.
Kecaman terhadap kerajaan negeri itu serentak dengan pelancaran Bandar Sejahtera di Pokok Sena. Tanpa perancangan ekonomi yang jelas (seperti didakwa), projek bernilai RM230 juta di atas tanah seluas 200 ekar itu tidak mungkin dapat dilaksanakan.
Projek perumahan 1,811 unit Bandar Sejahtera mampu menyelesaikan masalah pemilikan rumah di kalangan golongan berpendapatan rendah. Rumah teres dua tingkat sebanyak 785 unit, rumah teres kos rendah 579 unit, rumah berkembar setingkat 246 unit, rumah teres 11/2 tingkat 192 unit dan rumah sesebuah setingkat 9 unit.
Dr. Ku Abdul Rahman mendakwa kononnya projek Bandar Sejahtera itu adalah perancangan yang dibuat di zaman BN. Sekali lagi dia tak tahu apa-apa mengenai projek itu kerana jangankan perancangan, idea seumpama itu pun tidak ada di zaman BN.
Di zaman BN memang banyak projek perumahan tetapi sedikit untuk golongan berpendapatan rendah. Lebih banyak dikuasai oleh kaum minoriti di negeri ini kerana mereka mempunyai kuasa beli yang tinggi. Isunya di sini bukan perkauman, tetapi kegagalan kaum majoriti negeri ini memiliki rumah menunjukkan kegagalan dasar Umno yang kononnya memperjuangkan Melayu. Alhamdulillah, di bawah Pakatan barulah orang Melayu dapat merasai nikmat berada di bumi sendiri.
Dr. Ku Abdul Rahman mendakwa kampus Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) di Kuala Ketil dirancang di zaman BN. Sekali lagi dia tiada maklumat mengenainya. Perancangan menjadi Kuala Ketil Bandar Universiti adalah idea kerajaan Pakatan. Kampus tetap itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 120 hektar mampu menampung sejumlah 12,000 penuntut dengan dewan utamanya boleh memuatkan 6,000 orang. Fasa pertama pembinaannya akan menelan belanja RM350 juta.
Hari ini pelbagai program dari peringkat diploma hinggalah ijazah doktor falsafah disediakan. Penuntutnya datang dari pelbagai negara. Memang Insaniah diasaskan di bawah kerajaan BN dulu tetapi diperhebatkan sekali sekarang.
Pembangkang di Kedah sering sangat menyebut kononnya kerajaan Pakatan hanya meneruskan projek BN dulu. Tidak betul, sebab ada juga projek baru. Tetapi segala projek yang membawa kebaikan untuk rakyat yang diasaskan BN tetap diteruskan. Tiada sebab untuk dihentikan.
Setiap kali pilihanraya PAS berceramah meminta rakyat memilih parti itu menjadi kerajaan. “Kalau PAS menang jadi kerajaan, semua pegawai dan kakitangan kerajaan kita tidak akan buang. Semua bertugas macam biasa. Jalan raya kita tak akan korek buat baru, tiang letrik kita tak tumbang ganti baru. Yang berganti cuma Exco dan dasar baru yang lebih baik.” Itu yang diucapkan penceramah PAS dan itu yang ditunaikan bila jadi kerajaan.
Dalam mana-mana negara demokrasi di dunia ini, semua parti yang mengambil-alih kerajaan tidak memulakan pentadbiran bermula dari kosong dengan memusnahkan semua yang lama. Bila pembangkang di Kedah mengkritik kerajaan Pakatan kerana menyambung projek kerajaan lalu, ia menunjukkan mereka tidak memahami demokrasi dan belum ’akil baligh’ dalam politik.
Berhubung dakwaan kononnya tiada pelaburan masuk ke Kedah, ini pun satu lagi pembohongan besar. Sepanjang tahun 2010, Kedah mencatatkan sebanyak RM1.837 Billion yang membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 3,000 orang. MIDA meletakkan Kedah di tempat kelima jumlah pelaburan masuk terbesar di negara ini. Sebenarnya jika di masukkan pelaburan syarikat gergasi First Solar yang bernilai RM1 Billion, Kedah menduduki tempat keempat selepas Sarawak, Selangor dan Johor! Kalau menduduki tempat keempat masih dianggap gersang pelabur; bermakna Sabah, Perlis, Terengganu, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan yang ditadbir BN lagi kontang dari kedatangan pelabur.
Orang yang memahami ekonomi tidak melihat kemurungan ekonomi dalam batas lokaliti atau negeri. Baik faktor mikro atau makro ia diukur pada tahap nasional dan internasional. Tidak pernah penganalisis ekonomi memberitahu, ”kemelesetan ekonomi hanya berlaku di Kedah tetapi tidak di Perlis.” Antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat, maka jelas kerajaan Pusatlah yang memainkan peranan utama menjana (atau merudumkan) ekonomi negara.
Kerajaan Pusat di kuasai BN. Kedah dan Perlis di bawah kekuasaan BN. Jika mundur ekonomi Kedah dan Perlis, maka tidak wajarkah BN sebagai pemerintah dipersalahkan. Jika benar Kedah mundur (seperti dakwaan BN) maka ia semacam mereka meludah ke langit, tertimpa batang hidung sendiri kerana hakikatnya BN juga pemerintah di Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.