Selasa, 23 Februari 2010

Saman Fitnah: Asri Sedia Beri Keterangan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin sedia memberi keterangan di mahkamah berhubung dakwaan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap bekas Yang Dipertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Nakhaie Ahmad.

Menurutnya, beliau mempunyai bukti yang kukuh bagi menghadapi saman yang difailkan oleh Nakhaie semalam.

"Beliau nak saman saya tak mengapa, saya terima sahaja dan saya sedia untuk hadir ke mahkamah untuk beri keterangan.

"Saya boleh buktikan bahawa saya tak fitnah sesiapa," katanya kepada mStar Online di sini,semalam.

Hari ini Nakhaie memfailkan saman fitnah berjumlah RM1.5 juta terhadap Mohd Asri dan tujuh yang lain termasuk editor dan wartawan akhbar Sinar Harian.

Nakhaie yang kini berkhidmat sebagai Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mendakwa, Mohd Asri telah mengeluarkan tiga kenyataan fitnah terhadapnya dalam satu sidang media pada 1 November tahun lepas dan dua artikel yang diterbitkan oleh Sinar Harian pada 2 dan 5 November tahun yang sama.

Menurut Nakhaie, kenyataan fitnah itu telah memberi gambaran buruk bahawa beliau adalah pihak yang menjadi dalang dalam isu memorandum menentang pelantikan Mohd Asri daripada menjadi YDP Yadim, dan ada penyelewengan berlaku di institusi tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Asri menafikan beliau menyebut nama Nakhaie sebagai dalang bagi isu berkenaan.

"Saya tak pernah sebut nama beliau sebagai dalang, malah saya juga tidak pernah menuduh wujudnya penyelewengan dalam YADIM.

"Perkara biasa jika saya sebagai individu luar minta mana-mana pihak berkuasa seperti Jabatan Audit Negara minta untuk jalankan siasatan jika wujud penyelewengan," katanya.

Selain itu Mohd Asri berkata, beliau akan mendedahkan kepada masyarakat mengenai maklumat sebenar apa yang berlaku pada sidang media berkenaan.

Menurutnya, masyarakat umum berhak mengetahui situasi sebenar bagi mengelakkan kekeliruan.

"Saya akan dedahkan maklumat seperti kenyataan media pada malam itu, masyarakat kena tahu keadaan yang sebenarnya.

"Dalam masa satu atau dua hari nanti saya akan masukkan maklumat berkenaan melalui laman web saya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.