Selasa, 23 Februari 2010

Kerakyatan 66,000 warga Sarawak: Tunggu 24 tahun lagi?

SABAH DAILY/ MERDEKA REVIEW

Namun demikian, warga Sarawak perlu mengatasi satu rintangan yang besar sebelum memainkan peranan penting untuk demokrasi Malaysia. Kira-kira 66,000 penduduk terutamanya di kawasan kampung masih belum memiliki kad pengenalan atau sijil lahir, mengakibatkan kelayakan mereka sebagai pengundi dihilangkan begitu sahaja.

Jadi, mendaftarkan mereka yang tidak memiliki kad pengenalan dan sijil lahir ini sebagai “warga Malaysia” adalah tugas politik yang perlu disegerakan sebelum pilihan raya negeri Sarawak.

Setelah diperingatkan berkali-kali oleh SUHAKAM, media dan NGO, Jabatan Pendaftaran Negara akhirnya menyatakan bahawa pihak mereka akan mempercepatkan langkah Unit Khas Pendaftaran Bergerak di Sarawak, untuk mendaftarkan 66,000 warga Sarawak tersebut.

Malah, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein (gambar kiri) telah melawat ke Long Kevok, kawasan hulu Sungai Baram yang menjadi tempat duduk orang Penan pada 10 Disember 2009, untuk memberikan 25 kad pengenalan kepada penduduk yang sudah lama memohon. Dalam aktiviti yang lebih tebal sifat “lakonan”-nya ini , beliau memberikan had masa dua tahun kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendaftarkan golongan yang tidak memiliki kad pengenalan dan sijil lahir di Sarawak.

Tekad Hishammuddin Hussin dan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara dialu-alukan, tetapi keikhlasannya dipersoalkan. Ketua Pengarah Pendaftaran memberitahu saya bahawa sejak Unit Khas Pendaftaran Bergerak tersebut ditubuhkan, mereka telah berjaya mendaftarkan lebih daripada 3,000 orang kaum asli di Sarawak, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada orang Penan.

1 hari: 7 orang didaftarkan

Tetapi, menurut perhitungan koordinator MEO-NET, Ong Boon Keong (gambar kanan), seandainya Jabatan Pendaftaran Negara melanjutkan usaha ini dengan kadar sedemikian, iaitu 7 orang sehari, maka mereka memerlukan 24 tahun untuk menghabiskan pendaftaran 66,000 orang. Jabatan Pendaftaran Negara yang mendakwa untuk mencapai matlamat “pendaftaran 66,000 orang” dalam tempoh dua tahun kini memerlukan peruntukan, tenaga kerja dan efisiensi 12 kali ganda untuk mengelakkan janji Hishammuddin berakhir sebagai “mission impossible” yang melucukan.

Walaupun Ketua Pengarah Pendaftaran Negara “mengalu-alukan penyertaan NGO untuk membantu dan memantau” ketika temuramah bersama saya, tetapi sehingga kini, mereka bukan sahaja belum memperolehi peruntukan dana untuk kerja pendaftaran seterusnya, malah juga tidak meminta bantuan daripada NGO yang sedia menolong. Lebih-lebih lagi, keikhlasan beliau dipertikai kerana dalam tempoh hampir dua bulan, Ketua Pengarah dan unitnya gagal meluangkan masa untuk menemui anggota MEO-NET yang telah mengkaji dan menyiasat secara rapi warga Sarawak yang tidak berdokumen.

Dalam satu soal selidik secara rambang oleh MEO-NET di tujuh kawasan hulu Sungai Baram, antara 15 hingga 20 November 2009, daripada 103 orang yang belum mendaftarkan diri sebagai pengundi, 84 orang memberi alasan tiada kad pengenalan. Kelumrahan fenomena ini sebenarnya merupakan satu tamparan buat demokrasi Sarawak.

Sarawak bakal mengadakan pilihan rayanya selewat-lewatnya tahun 2010. Seandainya negeri tersebut gagal mendaftarkan lebih ramai pengundi yang sudah layak dari segi umurnya, maka ia bermakna legitimasi demokrasinya hanyalah 50% atau lebih rendah. Dengan kata lain, masa depan Sarawak, malah seluruh Malaysia dikawal oleh penduduk bandar yang berdekatan dengan institusi kerajaan dan sumber.

Masyarakat sivil tanpa hak sivil?

Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menetapkan hak kerakyatan dan hak mengundi sebagai hak asasi manusia oleh mana-mana warga negara. Seandainya sesebuah kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk membekalkan kedua-dua hak ini kepada warganya, maka kerajaan ini bukan sahaja tidak memenuhi tanggungjawab dan kewajipannya sebagai kerajaan, malah menjadi perampas hak asasi rakyatnya.

Apa yang menyesalkan, sementara pemimpin pertubuhan Cina menggunakan isu “rampasan kerakyatan Lim Lian Giok” yang lalu untuk mencungkil sentimen perkauman, malah kesemua media Cina arus perdana bersimpati kepada mereka yang memiliki kad pengenalan warna merah — mereka “buat tak nampak” golongan warga Sarawak yang terdiri daripada 66,000 orang ini. Ada pula yang berdalih bahawa ” (isu ini) tidak tersenarai sebagai perkara yang didahulukan dalam pertimbangan”.

Fenomena ini hanya mencerminkan betapa ceteknya pemahaman dan kurangnya pemikiran secara mendalam oleh komuniti Cina atau pemimpin pertubuhan Cina terhadap masyarakat sivil.

Berdepan dengan 66,000 orang asli Sarawak yang belum mendaftarkan diri sebagai “warga”, saya pernah mendapatkan pandangan daripada Harrison Ngau, anggota Gabungan Peguam kaum asli Sarawak, sama ada berhasrat untuk menyaman Jabatan Pendaftaran Negara atau Kementerian Dalam Negeri kerana gagal melaksanakan tugas mereka?

Harrison Ngau menganggap ianya bukan sesuatu yang mustahil, tetapi seandainya pemohon kad pengenalan yang ditolak itu bertindak secara berasingan, maka ia mungkin sesuatu yang berada di luar kemampuan peguam untuk mengendalikan kes-kes yang melimpah itu.

Persoalannya, apakah Majlis Peguam di Malaysia Barat, Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia yang menguasai lebih sumber masyarakat menyedari kepentingan isu kerakyatan ini?

*Chou Z Lam ialah wartawan. Artikel kolum ini disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Tajuknya diubahsuai ketika diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.