OLEH : SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN
Jawatankuasa Kira-kira Awam hari ini melawat gudang TUDM di Sungai Besi Kuala Lumpur untuk mendapatkan gambaran bagaimana dua enjin itu diseludup ke luar Negara.
Seorang ahli jawatankuasa menolak pendirian kerajaan bahawa hanya dua orang terbabit dalam melenyapkan aset pertahanan Negara itu.
" Saya fikir mereka tahu siapa yang terlibat, mereka ialah satu kumpulan. Ada antara mereka menunggu di luar kem. Mereka bergerak dalam bentuk kumpulan kerana tempat tersebut besar.. Ia sebuah kompleks," ujar Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw.
Menurut Seng Giaw, rumusan itu diputuskan oleh ahli jawatankuasa PAC pagi tadi setelah mengadakan lawatan kira-kira 4 jam ke MATRA 1.
Lawatan itu ujarnya adalah untuk mendapatkan gambaran bagaimana kehilangan enjin jet tersebut boleh berlaku.
" Mereka menunjukkan bagaimana proses membawa masuk enjin jet ke dalam lori yang mengambil masa hanya beberapa minit dari gudang kemudian bergerak ke pondok pengawal" katanya lagi.
Secara purata ujar Seng Giaw, proses untuk menyelinap keluar enjin tersebut hanya mengambil masa kira-kira 5 sehingga 10 minit.
Bagaimanapun, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana untuk memasuki kawasan tersebut kerana beberapa prosedur ketat perlu dipatuhi.
" Jika prosedur dipatuhi, ia tidak mungkin! Sesuatu telah berlaku! ia mungkin kerja dalam. Meskipun hanya membawa barang keluar, mereka memerlukan tiket, nota kiriman, pas masuk, semua itu diperlukan" ujar Seng Giaw lagi.
Malah, tambah Seng Giaw kejadian tersebut mungkin juga berpunca daripada peralihan sistem di gudang tersebut.
"Saya rasa apa yang berlaku ialah apabila prosedur terlalu ketat pada tahun 2007 sehingga 2008 dan apabila peralihan sistem dilakukan dengan menggunakan sistem komputer, ada pihak yang mengambil kesempatan".
Enjin jet F5E tersebut dikatakan hilang pada tahun 2007 dan hanya dilaporkan pada hujung tahun 2009.
Sehingga 6 Januari lalu, hanya seorang anggota berpangkat sarjan dan seorang pengarah syarikat sahaja didakwa terlibat kehilangan enjin terbabit.
Lawatan ke MATRA 1 dilakukan oleh Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng, Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Ahli Parlimen Tumpat, Kamaruddin Jaafar dan juga Seng Giaw.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.