Selasa, 23 Februari 2010

11.2 juta pemilih berdaftar seluruh negara: SPR

BERNAMA


PUTRAJAYA: Jumlah pemilih berdaftar bagi seluruh negara selepas Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Tahun Keempat 2009 yang disah dicantumkan dengan Daftar Pemilih Induk Tahun 2008, ialah sebanyak 11,163,409 orang.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini hari ini, DPT Suku Tahun Keempat 2009 bagi tempoh 1 Oktober hingga 31 Disember tahun lalu mengandungi 99,456 pemilih, terdiri daripada 82,663 permohonan pemilih baru dan 16,793 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Kenyataan itu berkata, pada masa yang sama, SPR sudah mengeluarkan sebanyak 21,910 pemilih daripada rekod pemilih berdaftar atas sebab-sebab seperti bertukar alamat, meninggal dunia, dilucut hak warga negara dan sebagainya.

"SPR sudah memperakui DPT Suku Tahun Keempat, hari ini seperti dikehendaki oleh Peraturan 22 (1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 yang menetapkan supaya DPT diperakui sebelum ia dapat digunakan untuk sesuatu urusan pilihan raya. DPT Suku Tahun Keempat ini akan diwartakan esok," katanya.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang berminat untuk membeli daftar pemilih tersebut boleh membuat tempahan di Ibu Pejabat SPR di sini dan menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-8885 6500 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri bagi sebarang pertanyaan.

Katanya, SPR turut memohon kerjasama daripada mana-mana waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur waris-waris mereka yang meninggal dunia kepada SPR dalam usaha untuk membersihkan daftar pemilih.

"Waris boleh menghantar salinan tersebut secara pos, faks atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke Ibu Pejabat SPR," katanya.

Katanya, pemilih berdaftar turut digalakkan menyemak Daftar Pemilih Induk 2009 bagi tujuan membuat pembetulan ke atas apa-apa kesilapan pendaftaran dari segi ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina, nombor rumah pemilih dan sebagainya.

"Sekiranya terdapat sebarang kesilapan pendaftaran, pemilih boleh membuat aduan melalui Sistem Aduan SPR di www.spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke Ibu Pejabat SPR," katanya.

Katanya, bagi pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin, mereka digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di pusat mengundi yang lebih dekat dengan tempat kediaman masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.