PENGURUSAN Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) akan menjalankan siasatan berhubung wujudnya dakwaan pekebun pekebun kecil kononnya terdapat agen pembeli getah di Tenom yang dilantik LIGS mengenakan harga pembelian berbeza (murah 50 sen setiap sekilo) dengan senarai harga getah harian yang diputuskan oleh kerajaan khususnya LIGS.
Pengurus Besar LIGS, David Ang berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net pada rabu sebagai mengulas tomahan pekebun kecil getah yang tidak puas hati dengan harga yang ditawarkan agen pembeli murah kira kira 50 sen setiap sekilo pembelian.
“LIGS tidak memberi kuasa kepada agen untuk menurunkan harga getah harian mengikut senarai harga harian, kecuali kualiti kepingan getah yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh LIGS adalah tertakluk kepada persetujuan agen itu sendiri untuk membelinya,” kata Ang sambil meyakinkan akan menyiasat dakwaan itu dengan serius.
Ekoran ketidaktentuan harga pasaran getah dan juga sistem timbang sukat yang menjadi rungutan para pekebun kecil getah di Tenom dan Kemabong sebelum ini, mereka (pekebun) memutuskan untuk mengemukakan perkara tersebut menerusi CASH kepada pihak tertentu supaya tindakan wajar dapat dilakukan.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Tertinggi Persatuan Pengguna Sabah (CASH), Miling Oyot, meminta pihak pihak tertentu khususnya LIGS dan Penguatkuasa Jabatan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Keningau mengambil tindakan serius terhadap perkara tersebut.
Oyot menambah, pihak pihak tertentu seperti LIGS dan KPDNK perlu menangani kecelaruan tersebut dengan sebaik mungkin untuk meyakinkan para pekebun kecil getah.
“Sesiapa juga akan menyangka sesuatu yang tidak telus terhadap mereka kerana harga pembelian kerap berbeza-beza dengan senarai harga yang telah ditentukan oleh LIGS setiap hari,” tegas Miling Oyot.
Sehubungan itu, Ketua Cawangan Pejabat KPDNK Keningau, Runji Abdul Hamid, menegaskan bahawa pihaknya akan menjalankan pemantauan terhadap penggunaan timbang sukat oleh agen agen pembeli getah dalam masa terdekat ini.
Beliau menambah, jika didapati terdapat unsur-unsur penipuan seperti yang didakwa para pekebun getah sebelum ini, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Timbang Sukat yang berkuatkuasa ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.