Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
PUTRAJAYA: Lebih 33 peratus aduan yang diterima oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) sepanjang tahun lalu adalah mengenai isu kelewatan dan tiada tindakan yang diambil oleh agensi yang berkaitan mengenai janji yang dibuat.
Ketua Pengarah BPA, Datuk Tam Weng Wah berkata, ini menunjukkan masyarakat sedar akan hak mereka dan mengikuti perkembangan setiap agensi atau jabatan dari dekat.
Bagi BPA katanya, ini adalah satu perkembangan yang sihat kerana masyarakat sedar akan kewujudan dan peranan BPA dan mahu ke hadapan untuk membuat aduan bagi menambah baik perkhidmatan kepada rakyat.
Sehubungan dengan itu, BPA pada tahun ini berazam untuk menyelesaikan aduan masyarakat dalam masa 15 hari daripada tarikh aduan dibuat yang mana sebelum ini mengambil masa 41 hari untuk diselesaikan.
"Kita juga akan memberi perhatian lebih kepada masalah-masalah yang dilaporkan dan tidak mengambil ringan terhadap laporan yang dibuat," katanya dalam temuramah eksklusif dengan mStar Online di pejabatnya di sini.
Menurut statistik yang dikumpulkan oleh BPA, 10 agensi yang paling banyak menerima aduan daripada orang-ramai sepanjang tahun lalu ialah (1). Polis Diraja Malaysia (783 aduan); (2). Jabatan Kerja Raya (496 aduan); (3). DBKL (437 aduan); (4).Bank Negara Malaysia (380 aduan); (5). Jabatan Pelajaran Negeri (311 aduan); (6). JPN (309 aduan); (7). Jabatan Imigresen (274 aduan); (8). Jabatan Kebajikan Masyarakat (269 aduan); (9). Hospital (255 aduan) dan (10). Tenaga Nasional (219 aduan).
Menurut Tam, aduan mengenai kelewatan bertindak atau kegagalan agensi-agensi tertentu mengambil tindakan ke atas aduan yang dibuat meningkat sebanyak 3.4 peratus berbanding tahun 2008 yang hanya 30.3 peratus.
Bagaimanapun menurut Tam, daripada keseluruhan 12,688 kes aduan yang diterima oleh BPA sepanjang tahun lalu, 12,125 kes atau 95.6 peratus telah berjaya diselesaikan oleh BPA.
"Jumlah itu amat besar dan pihak kami amat gembira apabila hampir semua masalah dapat diselesaikan," kata.
Beliau juga memberi contoh dalam kes aduan yang dibuat mengenai PDRM iaitu 783 aduan sepanjang tahun lalu, 753 aduan atau 96.2% berjaya diselesaikan dan begitu juga dengan sembilan lagi agensi yang mendapat aduan tertinggi semuanya berjaya menyelesaikan lebih 90% daripada aduan yang disampaikan.
Malah katanya, dalam kes aduan yang dibuat mengenai JPN, 99% daripada aduan itu berjaya diambil tindakan dan diselesaikan.
Menurutnya lagi, kejayaan itu hasil daripada kegigihan dan kesungguhan kakitangan BPA menjalankan tugas mereka secara sistematik dan teratur selain kerjasama erat BPA dengan agensi-agensi yang telibat.
Menurut Tam, kes yang sering dilaporkan oleh orang awam mengenai agensi kerajaan adalah berkaitan dengan kualiti perkhidmatan, kegagalan penguatkuasaan, salah laku anggota awam selain kelewatan mengambil tindakan dan tiada tindakan langsung selepas aduan dibuat.
"Kakitangan perlu peka dengan setiap permasalahan yang diadu oleh pihak pengadu dan polisi kita di sini adalah mesti bertindak cepat tanpa perlu menunggu arahan daripada pihak atasan.
"Selain itu, kerjasama erat antara agensi amat penting bagi mencari punca sebenar masalah yang timbul," katanya.
Tambah beliau, BPA tidak boleh bersikap berat sebelah kepada agensi yang diadu tanpa mengkaji terlebih dahulu masalah yang berlaku.
Ditanya mengenai badan itu yang agak low-profile daripada sebarang publisiti tetapi menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan, Tam berkata, itu bukan satu isu yang besar kerana menurutnya, apa yang lebih penting adalah untuk melaksanakan tanggungjawab dan saling tolong menolong dalam menyelesaikan masalah yang diajukan oleh rakyat.
"Itu adalah tanggungjawab kami di sini untuk menyelesaikan masalah," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.