- Pembangunan Pusat Latihan Polis Ceroboh Tanah Perkuburan
Rantu Abang, DUNGUN – Umno, sebuah parti komponen Barisan Nasional, dilihat begitu lantang akhir-akhir ini, kononnya mempertahankan maruah umat Islam.
Namun, seorang penduduk tempatan, Encik Mat Zin Mat Noor, 53, (Gambar) melahirkan rasa dukacita kerana sebuah lagi projek kerajaan Barisan Nasional di sini, tidak langsung menghiraukan maruah serta kesucian agama Islam.
Beliau mendakwa, jalan utama ke projek pembinaan Pusat Latihan Polis DiRaja Malaysia Zon Tenggara dibina di atas tanah perkuburan orang-orang Islam.
Lebih malang lagi, projek Kerajaan Malaysia itu adalah dibawah Kementerian Dalam Negeri yang diterajui oleh Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Dato’ Seri Hishamuddin Hussein.
“Saya rasa sangat tidak puas dan dukacita dengan tindakan sambil lewa pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah tanah perkuburan Islam yang diceroboh.
“Saya anak jati kelahiran di Kampung Rantau Abang ini tahu dengan yakin masih banyak kubur yang ‘terkorban’ di sini,” jelasnya ketika membawa wartawan Buletinonline ke lokasi.
Wartawan Buletinline menyaksikan, betapa, tanpa sedikit pun rasa ehsan terhadap ‘penghuninya’, puluhan kubur lama telah dilanyak dan dibongkar bagi membina jalan dan longkang sepanjang 300 meter.
Bahkan, ‘zalimnya’ perbuatan tersebut, apabila cebisan tulang-belulang ditemui ketika kerja-kerja menggali tanah membuat longkang besar tersebut .
Mat Zin mepersoalkan, mengapa pihak pejabat agama tidak mengambil tindakan mengalih kubur-kubur tersebut lebih dahulu, sebelum projek dimulakan?
Seorang lagi penduduk, Encik Hazim Ismail, 54, menyifatkan pihak berkuasa Pejabat Agama Daerah Dungun ‘tidak mengambil endah’, meski pun tiga buah kubur telah ditemui pekerja pembinaan.
Katanya, penemuan itu sah menjadi bukti, pembinaan jalan dan longkang adalah dalam kawasan tanah perkuburan.
“Saya hairan kenapa pihak pejabat agama Dungun tidak ambil langkah serius setelah tiga buah kubur ditemui,
“mengapa tidak pindahkan dulu mayat-mayat tersebut, bagi menghormati si mati,” ujarnya.
Menurutnya, penduduk tidak kisah serta mengalu-alukan sebarang projek pembangunan tetapi bukan dengan cara yang tidak beradab, mencerobohi tanah perkuburan Islam.
Yang Dipertua PAS Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli yang turut bersama dalam tinjauan lokasi itu, menggesa kerajaan Umno dan BN menghentikan segera segera, apa-apa pembangunan sekalipun, di atas tanah perkuburan Islam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, Islam mengajar umatnya menghormati tanah perkuburan, walaupun milik bukan Islam, apatah lagi tanah perkuburan orang-orang Islam.
“Ia begitu menyalahi peradaban Islam, saya minta dengan jasa baik pihak pejabat agama dan kerajaan negeri melihat dengan serius perkara (pencerobohan) ini.
“Mungkin terlepas pandang atau sengaja dilakukan, WaLlahu’alam, namun ia satu kesilapan yang amat besar,
“mungkin ada pihak tertentu yang mengambil jalan mudah, lalu meringan-ringankan soal agama,”ujarnya.
Buletinonline dimaklumkan, mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta jamaah Masjid Rantau Abang sedia maklum masalah tersebut tetapi ‘takut lalu enggan’ bersuara.
Kawasan tanah perkuburan seluas dua hektar dipercayai wujud sejak lebih 100 tahun lalu dan masih digunapakai hingga kini.
Kontraktor utama membangunkan projek itu, sebagaimana dicatatkan pada papan tanda ialah Denrich Naluri Rezeki J.V.
Pembinaan yang dikatakan secara ‘rundingan terus’ dan berharga ratusan juta itu,dimulakan pada 1 April 2009 dan dijangka siap pada 29 Mac 2011 tahun hadapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.