Jumaat, 29 Januari 2010

Hospital Pantai Ipoh sedia rawat budak sakit kulit

BERITA HARIAN ONLINE


IPOH: Kesediaan sebuah hospital pakar menawarkan rawatan percuma kepada Mohd Ihsan Mohd Tahir, 11, yang menderita sakit kulit kronik sejak lahir memberi sinar baru kepada anak kecil itu.

Mohd Ihsan ditempatkan bilik isolasi, Hospital Pantai Ipoh (HPI), di sini, sejak Selasa lalu bagi mengelakkan jangkitan kuman serta pemantauan khusus berhubung penyakit kulitnya dilakukan.

Usaha membawa Mohd Ihsan ke hospital itu dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Mohd Zahir Abdul Khalid; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong, Datuk Rosli Husin dan Pakar Ortopedik, Datuk Dr S Vasan.

Ketua Pegawai Eksekutif HPI, Dr Dilshaad Ali, berkata rawatan yang diberikan kepada Mohd Ihsan meliputi ortopedik, pergigian dan dermatologi.

Katanya, rawatan itu adalah percuma atas dasar tanggung jawab sosial korporat hospital berkenaan.

“Selain itu, kita turut mengadakan perbincangan dengan pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mengadakan lawatan setiap tiga bulan ke rumah Mohd Ihsan di Kampung Tengah, Trong bagi melihat perkembangannya,” katanya sidang media di HPI di sini, semalam.

Pakar Dermatologi, Datuk Dr Sushil Ratti, berkata pemeriksaan awal mendapati, Mohd Ihsan mengalami 'epidermolysis bullosa' iaitu sejenis penyakit kulit berkaitan genetik.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut akan diteruskan bagi mencari penawar penyakit dialami Mohd Ihsan supaya dapat sembuh seperti kanak-kanak lain,” katanya yang memberitahu Mohd Ihsan dijangka mendapatkan rawatan di hospital berkenaan dalam masa dua minggu.

Sementara itu, Mohd Zahir berkata, pihaknya yang mewakili kerajaan negeri sudah menemui beberapa pihak untuk membantu Mohd Ihsan sama ada dari segi perubatan dan barangan keperluan.

“Kita sudah meminta bantuan beberapa pihak seperti lampin pakai buang dan susu bagi memenuhi keselesaan Mohd Ihsan.

“Sebuah kerusi roda bermotor disumbangkan Kelab Bakti Gunung Kledang untuk kegunaan Mohd Ihsan,” katanya.

Sementara itu, ibu Mohd Ihsan, Norazahariyah Mohamad, 44, berterima kasih kepada semua pihak yang membantu mengurangkan beban penderitaan anaknya.

“Ini adalah takdir ditetapkan Allah. Saya cuma mampu berdoa dan berharap semoga anak saya mendapat penawar bagi mengubati penyakitnya dengan segera,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.