Khamis, 28 Januari 2010

AMK Selangor sokong MB dedah mengenai Yayasan Basmi Kemiskinan

Harakahdaily


SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan Selangor memberi sokongan kuat dan padu kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Datuk Menteri Besar Selangor,Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim untuk mendedahkan laporan berkenaan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) kepada umum.

Tindakan ini amat penting dan perlu kerana rakyat Selangor mempunyai hak untuk mengetahui ke mana wang dibelanjakan dalam program pembasmian kemiskinan ini.

Ketua Penerangan AMK Selangor, Mohd Ezli Mashut menegaskan bahawa ’ Menteri Besar Selangor mempunyai kuasa bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan hak beliau sebagai Menteri Besar di bawah Seksyen 2c Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Kita mahu agar Yayasan Basmi Kemiskinan agar menyediakan laporan audit kewangannya agar ketelusan Yayasan tersebut selama ini tidak diragui," katanya dalam satu kenyataan.

AMK Selangor juga berharap pihak YBK bersifat professional dalam isu ini dan tidak berfikiran politik sempit yang mana hanya akan merugikan rakyat sahaja.

Jika benar YBK berjuang untuk membasmi kemiskinan maka soal kecil dan remeh temeh perlu dilontarkan jauh dan bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor untuk membawa agenda pembasmian kemiskinan dengan lebih dinamik dan bersungguh-sungguh, katanya.

AMK Selangor ingin menegaskan bahawa kemiskinan di bandar-bandar dan pekan-pekan perlu diberi perhatian.

Ini adalah disebabkan perubahan sosioekonomi negara ini di mana kos sara hidup yang tinggi telah menyebabkan warga pekan dan bandar juga semakin terasa kesan dan impak ekonomi.

Justeru agenda pembasmian kemiskinan adalah isu semua pihak yang perlu diperjuangkan tanpa rasa sebarang perbezaan fahaman politik.

"Sudah tiba masannya agar YBK terus bersama-sama fokus dalam agenda pembasmian kemiskinan ini. Kita juga mahu agar segala usaha baik dapat dijalankan bersama agar dapat membina masa hadapan rakyat dan negara yang lebih bahagia dan makmur sejahtera," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.