Oleh S Anand Kumar
KUALA LUMPUR: Operasi kira-kira 3,000 bas sekolah berusia lebih 30 tahun seluruh negara berkemungkinan akan ditamatkan sepenuhnya menjelang 2012 untuk digantikan dengan van sekolah baru yang lebih selesa dan memenuhi piawaian keselamatan.
Sumber berkata, Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) ketika ini dalam proses perbincangan dengan sebuah syarikat pengeluar kenderaan terkemuka dari luar negara bagi membekalkan van sekolah itu secara berperingkat.
“Difahamkan, van sekolah itu mampu memuatkan kira-kira 20 murid dan dijual pada harga RM70,000 seunit. Bagaimanapun, PPBSM kini sedang berbincang dengan syarikat pengeluar kenderaan itu untuk mendapat potongan harga yang sepatutnya.
“PPBSM mencadangkan supaya seunit van sekolah itu dijual pada harga RM50,000 bagi mengurangkan beban kewangan pengusaha bas sekolah yang kenderaan mereka melebihi 30 tahun,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, contoh model van baru itu kemungkinan akan dihantar kepada Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan dalam tempoh terdekat ini untuk mendapat kelulusan kerajaan.
“Murid akan berasa lebih selesa dengan van sekolah baru itu terutama ketika berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan bandar selain ibu bapa juga tidak perlu risau mengenai keselamatan anak-anak mereka, ” katanya.
Sumber berkata, PPBSM juga dijangka turut mengadakan pertemuan bersama lebih 3,000 ahlinya seluruh negara untuk membincangkan perkara itu dalam tempoh terdekat ini.
Sementara itu, sumber berkata, berikutan berlakunya pembaharuan dalam perkhidmatan itu, PPBSM menjangkakan berlakunya kenaikan kadar tambang baru.
“Perkara (tambang) itu belum dimuktamadkan lagi tetapi PPBSM menjangkakan kemungkinan berlakunya kenaikan kadar tambang,” katanya yang tidak mahu mengulas lanjut mengenai cadangan kenaikan tambang baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.