BERNAMA
Penasihat Petronas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kesinambungan penting bagi syarikat minyak nasional itu dan Ketua
Pegawai Eksekutifnya (CEO) perlu dilantik dari dalam syarikat itu sendiri.
"Ketiga-tiga yang kini disenarai pendek untuk jawatan itu adalah dari
Petronas dan ini bermakna mereka tahu mengenai syarikat," katanya semasa ditanya tentang pilihan calon bagi jawatan CEO dan presiden.
"Kalau mereka lantik orang luar, ini akan menimbulkan kemarahan, kenapa mereka yang dalam syarikat tidak dipilih," kata beliau semasa melawat I-City di Shah Alam hari ini.
Selain dari itu, Tun Dr Mahathir berkata orang baru juga akan mengambil masa untuk mempelajari selok belok perniagaan minyak dan gas serta mewujudkan hubungan memandangkan Petronas telah berada di pelbagai benua.
"Yang pentingnya, kita telah menjalankan perniagaan dengan banyak negara. Orang baru akan mendapati sukar dalam mewujudkan hubungan dengan mereka yang telah mempunyai jalinan perniagaan dengan kita," kata bekas Perdana Menteri itu.
"Bagaimanapun, pengerusi boleh diambil dari luar. Tetapi, CEO perlu dari dalam. Itulah yang saya fikirkan," katanya.
Mengenai kemungkinan kontrak Presiden dan CEO sekarang ini, Tan Sri Mohd Hassan Marican tidak diperbaharui, beliau berkata: "Mungkin, beliau sudah mencapai umur persaraan.
"Beliau telah lama di sana. Seseorang itu perlu bersara, walaupun jika erlalu baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.