Oleh ALI MAHMOOD
KUALA LIPIS - Kerajaan sedang melatih 5,000 belia yang berperanan untuk memimpin pertubuhan bagi golongan itu menerusi Program Kepimpinan Elit yang dilancarkan tahun lalu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, program itu bertujuan mendedahkan golongan belia mengenai aspek kepimpinan berkualiti selain sebagai pelapis menggantikan kepimpinan sedia ada.
''Kita sedang menyiapkan pemimpin muda bagi menggantikan tokoh veteran sekarang yang melebihi had umur 40 tahun.
''Mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, pemimpin melebihi usia 40 tahun perlu melepaskan jawatan dalam persatuan belia.
"Mahu atau tidak, kita perlu melatih generasi muda dan memberi kepercayaan kepada mereka menerajui persatuan ke arah yang lebih baik pada masa hadapan," katanya.
Beliau berucap merasmikan mesyuarat agung Majlis Belia Negeri (MBN) Pahang ke-20 di sini hari ini.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis, Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat dan bekas Presiden MBN Pahang, Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Ahmad Shabery memberitahu, pihaknya berpuas hati apabila semua persatuan belia di peringkat nasional, negeri dan cawangan berjaya menyelesaikan mesyuarat agung masing-masing dan memilih ahli jawatankuasa baru di bawah usia 40 tahun.
Sementara itu, beliau meminta barisan jawatankuasa baru MBN Pahang menjadikan kualiti kepimpinan dua Perdana Menteri yang berasal dari negeri ini sebagai tanda aras untuk membawa kecemerlangan kepada pertubuhan belia itu.
Menurut beliau, kedua-dua Perdana Menteri itu, Tun Abdul Razak Hussein dan anaknya, Datuk Seri Najib mula menunjukkan bakat kepimpinan sejak usia muda dan sewajarnya dijadikan panduan bagi barisan kepimpinan belia negeri itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.