Zaman 'joli katak' sudah berakhir dan wang 'loteri minyak' makin berkurangan, khususnya akibatkan kelemahan pengurusan kerajaan, kata pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
"Ia bermula dengan perjanjian (pembelian peralatan ketenteraan) dengan (perdana menteri Britain pada masa itu) Margaret Thatcher.
"Kemudian, pengeluaran minyak tiba-tiba berganda daripada 650,000 tong sehari kepada lebih satu juta tong sehari (untuk menampung pembelian senjata). Itu sudah terlalu banyak untuk kita," katanya.
Sebagai seorang perancang utama kepada rancangan minyak Malaysia, bekas menteri kewangan itu kini cuba untuk membetulkan keadaan, lebih-lebih lagi untuk negeri asalnya sendiri yang beliau percaya mempunyai "hak berdaulat" untuk menerima bayaran royalti minyak bagi sumber yang ditemui di perairannya.
"Ianya bukan isu yang sukar sebab selagi minyak itu ditemui di perairan Kelantan, sama ada ianya kawasan usaha sama atau sama ada ia di luar pantai dalam zon ekonomi eksklusif negara, Petronas tetap perlu membayarnya," katanya.
Bekas menteri kewangan itu, dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lalu, juga tidak kisah dengan peringatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jangan menerima jemputan pembangkang untuk mengetuai satu kaukus parlimen berkenaan royalti minyak.
"Saya tidak peduli siapa yang beri amaran. Saya lakukan ini demi negara. Saya tidak terhutang budi dengan sesiapa.
"Saya tidak peduli. Saya mahu lihat hak daulat rakyat ini terjaga," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.