UTUSAN ONLINE
KUALA TERENGGANU - Wabak taun di negeri ini dilaporkan terkawal namun orang ramai dinasihati supaya sentiasa berwaspada berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nordiyanah Hassan berkata, orang ramai perlu menjaga kebersihan dan mengamalkan gaya pemakanan sihat selain meminum air yang dimasak.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa membuat pemantauan termasuk mengadakan pemeriksaan ke gerai-gerai makan atau restoran bagi memastikan makanan yang dijual dijamin bersih dan selamat untuk dimakan.
Setakat ini, katanya, masih ada beberapa gerai dan kilang-kilang air batu yang ditutup akibat wabak taun melanda negeri ini sejak 13 November lalu.
''Kita masih teruskan langkah pengawasan dan pemeriksaan ke premis-premis berkaitan, walaupun musim banjir bukan faktor utama wabak taun merebak tapi kita perlu berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas perkembangan wabak taun di Terengganu berikutan ramalan kemungkinan banjir gelombang ketiga bakal kembali melanda negeri ini ekoran hujan berterusan sejak awal pagi ini.
Dr. Nordiyanah memberitahu, buat masa ini, lebih 40 orang masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kerana disyaki mempunyai simptom taun.
Pada masa sama, katanya, lebih 100 orang yang mengalami cirit birit dirawat di hospital-hospital seluruh negeri.
''Kita juga menasihatkan orang ramai yang mengalami cirit-birit supaya segera mendapatkan rawatan sebagai langkah pencegahan awal,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.