Rabu, 23 Disember 2009

Umno masih bermain dengan perkauman

Harakahdaily


ALOR SETAR : Perjuangan Umno Pulau Pinang disifatkan masih berlegar dalam kitaran perkauman apabila membangkitkan perbalahan dalam isu perebutan jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara itu berkata, jawatan itu tidak membawa sebarang makna kepada Umno tidak seperti mana jawatan Ketua Menteri yang mengetuai pentadbiran negeri itu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut mempertikaikan dakwaan pemimpin-pemimpin Umno Pulau Pinang yang menuntut jawatan itu hanya kerana kemenangan mereka dalam pilihan raya yang lalu.

Tindakan pemimpin Umno di negeri itu dilihatnya cuba meraih sokongan pengundi melayu yang makin terhakis kepada parti itu kebelakangan ini.

“Saya hairan kenapa tiba-tiba jawatan Pengerusi BN itu yang menjadi keutamaan mereka setelah BN gagal di negeri itu, kenapa tidak tuntut jawatan Ketua Menteri ketika mana mereka mempunyai majoriti dalam pilihan raya dulu.

"Sepatutnya Umno memberi keutamaan kepada isu yang lebih besar, bukannya mencetuskan isu remeh yang sering berkisar dengan isu perkauman seperti ini," katanya pada sidang media dipejabatnya semalam.

Katanya, perjuangan yang ditegakkan Umno di negeri itu disifatnya hanya lebih untuk menegakkan kepentingan politik perkauman mereka sahaja dan bukannya untuk kepentingan rakyat di negeri itu.

"Tidak ada apa yang nak direbutkan, Pengerusi BN Negeri itu hanya jawatan kecil sahaja, di peringkat nasional yang Umno pegang pun banyak masalah dan tidak boleh diselesaikan, inikan pula hanya jawatan di peringkat negeri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.