Rabu, 9 Disember 2009

TPM tidak puas hati prestasi Proton

BERNAMA


TOKYO - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak berpuas hati dengan tahap keupayaan Proton untuk mengeksport kenderaan keluarannya.

Sehubungan itu, katanya Proton perlu lebih kompetitif dan meningkatkan eksportnya keluar di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Memang, setakat hari ini, saya sendiri tidak berpuas hati dengan eksport Proton,” katanya dalam satu sesi soal jawab dengan pelajar dan warganegara Malaysia yang bekerja di Jepun.

Walau pun Proton telah diberi sokongan, katanya, syarikat tersebut perlu meningkatkan keupayaan sendiri dan tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada keistimewaan yang disediakan oleh kerajaan.

“Sepatutnya mereka sudah mampu bersaing bukan sahaja di dalam negara, malah ke peringkat antarabangsa, terutamanya dalam soal eksport,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Proton juga wajar mendapat rakan yang boleh bekerja dengan strategik.

“Mereka patut lebih tahu,” katanya apabila ditanya sama ada kerajaan akan mencari rakan strategik untuk syarikat pembuat kereta nasional itu.

Sementara itu, Proton kini menguasai 31 peratus pasaran kereta tempatan.

Pada tahun kewangan 2008-2009, Proton dilaporkan menjual 108,405 unit kereta Proton di pasaran tempatan dan hanya mengeksport 18,426 unit.

Pada majlis berlainan, Muhyiddin berkata, pengeluar silikon Jepun, Tokuyama Corporation akan melabur RM12.5 bilion di dalam satu tempoh masa untuk mengeluarkan komponen sel solar di Taman Perindustri Samalaju di Sarawak.

“RM5.5 bilion diperuntukkan bagi pelaburan 10 tahun pertama dengan tambahan RM7 bilion bagi tempoh 10 hingga 15 tahun lagi,” katanya selepas pertemuan dengan pegawai tinggi syarikat itu di sini.

Muhyiddin, yang sedang dalam misi pelaburan dan perdagangan khas ke Jepun dari dari 7-10 Disember, berkata pelaburan Tokuyama itu telah diluluskan pada 2008 dan kerajaan Sarawak telah mengenal pasti satu lokasi projek itu.

Kilang itu, yang akan mengeluarkan polihabluran silikon bagi sel solar, dijangka memulakan operasi pada 2011.

Muhyiddin berkata projek itu dijangka menyumbang RM19 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi tempoh tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.