Rabu, 23 Disember 2009

Semua pelajar Malaysia selamat dalam gempa di Padang

BERNAMA


JAKARTA: Semua 75 pelajar perubatan Malaysia selamat dalam kejadian gempa bumi terbaru berkekuatan 6.1 pada skala Richter (SR) di Padang, Sumatera Barat, pagi ini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, berkata beliau sudah menghubungi pemimpin pelajar Malaysia di Universitas Andalas di sana dan mendapat pengesahan bahawa semua pelajar yang masih berada di Padang berada dalam selamat.

"Kita ada 75 pelajar di sana sekarang manakala bakinya kira-kira 70 orang lagi sedang bercuti di Malaysia. Mereka masih berada di rumah ketika kejadian dan sempat menyelamatkan diri ke luar rumah setelah merasakan goyangan gempa yang agak kuat," katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, semua pelajar itu meneruskan kuliah dan latihan praktikal mereka seperti biasa hari ini kerana tidak ada kerosakan harta benda akibat kejadian itu.

Data Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia, gempa itu terjadi jam 8.11 pagi dengan pusatnya di kedalaman 10 km pada lokasi kira-kira 56km ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Gempa susulan yang berkekuatan 5.3 SR pula berlaku jam 8.47 pagi di kedalaman 25km pada lokasi 46km ke tenggara Pulau Siberut-Mentawai.

Bagaimanapun kedua-dua gempa bumi itu tidak menimbulkan ancaman tsunami, menurut BMKG.

Gempa bumi itu terjadi kira-kira tiga bulan selepas gempa bumi besar berkekuatan 7.9 SR menggegarkan Kota Padang, yang mengakibatkan Malaysia terpaksa menggunakan helikopter tentera bagi membawa pulang lebih 300 pelajar perubatan dari sana.

Sementara itu, media massa tempatan melaporkan gempa pagi ini sempat mengakibatkan rasa panik di kalangan penduduk terutama di Kota Padang yang bertempiaran keluar meninggalkan rumah dan bangunan kerana takut terjadi runtuhan.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari ini tiada laporan mengenai sebarang kerosakan harta benda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.