KEJAYAAN sistem pendidikan negara juga dapat dibuktikan dengan lahirnya pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan setiap tahun.
Hal ini dapat dilihat dengan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2009 yang menyaksikan Gred Purata Nasional (GPN) yang meningkat daripada tahun sebelumnya.
Sebanyak 25 buah sekolah termasuk sekolah menengah harian, berasrama penuh, agama dan kategori sekolah di luar Kementerian Pelajaran dikategorikan sebagai sekolah terbaik PMR tahun 2009.
Ini termasuklah lima buah sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban; Kolej Tunku Kurshiah, Seremban; Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub dan Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya (SSP).
Kelima-lima sekolah ini telah merangkul kategori sekolah terbaik berasrama penuh 2009.
SSP misalnya telah memperolehi purata kelulusan sebanyak 93.6 peratus dan merupakan pencapaian tertinggi yang pernah diperolehinya.
Kegembiraan di atas kejayaan ini dapat dilihat ketika keputusan mula diumumkan di sekolah tersebut seawal pukul 10 pagi Khamis.
Kemeriahan dengan sorakan dan gelak ketawa pelajar tanda kegembiraan turut dikongsi bersama guru dan ibu bapa masing-masing.
Sebagai peneraju di SSP, Pengetuanya, Rashidah Md. Arif memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah dan tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya ketika ditemubual.
Namun begitu, beliau turut berterima kasih dan berbangga dengan guru-guru dan pelajar-pelajar yang tidak pernah membelakangkan soal pembelajaran sehingga dapat menaikkan nama sekolah dengan kejayaan PMR kali ini.
"Pencapaian yang memberangsangkan di SSP bukan sahaja terletak di bahu guru yang tidak pernah kenal erti penat lelah, tetapi ia turut bersatu dengan semangat dan keazaman yang tinggi para pelajar sekolah ini," ujarnya.
Dalam PMR kali ini seramai 161 daripada 172 pelajar SSP berjaya memperolehi keseluruhan A dalam semua subjek, manakala selebihnya mendapat B dalam subjek tertentu.
Seorang pelajar terbaik PMR sekolah tersebut, Anis Farhana Mohd Ripin ketika ditemubual begitu gembira dan memanjatkan kesyukurannya ke hadrat Allah dengan kejayaan yang diperolehinya.
Kejayaannya itu turut dikongsi bersama ibu dan bapanya yang turut yang hadir di sekolah hari ini.
"Saya gembira kerana berkat usaha dan dorongan dari rakan-rakan, guru serta ibu bapa selama ini sehingga saya mendapat keputusan 8A dalam PMR," katanya.
Menurut anak kedua dari empat beradik ini, walaupun telah disediakan jadual yang ketat oleh pihak asrama sekolah, namun dirinya tidak pernah merasa tertekan kerana masa yang diperuntukkan telah dimanfaatkan sepenuhnya dan diselang-selikan dengan aktiviti sukan.
Anis Farhana yang juga bercita-cita menjadi seorang akauntan berharap akan mengekalkan kejayaannya ini di sepanjang proses pembelajarannya.
Manakala bagi seorang lagi pelajar terbaik, Muneeba Ubaidi Hishamudin yang tidak menyangka akan mendapat keputusan 8A begitu terharu dengan kejayaannya yang turut berkongsi dengan ibu dan bapanya yang hadir semasa keputusan diumumkan.
Walaupun begitu aktif dalam sukan tenis, Muneeba turut bijak membahagikan masa untuk mengulangkaji pelajarannya.
Sementara itu, bagi Nur Najiha Abd. Rahim pula yang turut mendapat 8A menjadikan kakaknya sebagai sumber inspirasi.
Dengan lahirnya minat yang mendalam dalam bidang perubatan, beliau menganggap kejayaannya ini sebagai permulaan untuk mencapai cita-citanya itu suatu hari nanti.
Anak kepada juruterbang ini juga begitu gembira kerana keputusan yang diperolehinya turut dianggap sebagai hadiah buat kedua-dua ibu bapanya yang selama ini banyak berkorban dan memberi dorongan buatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.