Ahad, 27 Disember 2009

Sani Express sedia pampasan untuk waris mangsa

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Sani Express Sdn Bhd sedia memberi pampasan kepada keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Ipoh, awal pagi tadi bagi meringankan beban mereka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abu Bakar Mohammad, ketika dihubungi berkata sebagai tindakan segera, Sani Express akan menyediakan peruntukan khas untuk setiap keluarga mangsa.

Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi keluarga mereka yang terbabit bagi tujuan penyaluran bantuan tidak lama lagi.

Katanya, bas dua tingkat milik syrikat itu yang membawa 48 penumpang berada dalam keadaan baik sebelum ia memulakan perjalanan dari Klang, Selangor, pada 9 malam tadi menuju ke Kuala Perlis, Perlis.

"Bas berkeadaan baik dan diselenggara dengan baik. Bas itu juga dikunci had kelajuannnya pada 97 kilometer sejam dengan menggunakan alat khas 'speed limiter'," katanya.

Abu Bakar berkata, dengan menggunakan alat itu pemandu tidak boleh memandu melebihi had kelajuan yang ditetapkan atau mengubah alat terbabit untuk menambah kelajuan.

"Siasatan kami juga mendapati kelajuan bas yang dirakamkan sebelum kemalangan adalah 91 km sejam," katanya.

Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil syarikat terhadap pemandu bas yang didakwa terlelap, beliau berkata tindakan susulan akan dibuat setelah laporan daripada polis berhubung punca sebenar kejadian diperolehi.

"Tindakan selepas ini bergantung kepada hasil siasatan polis. Jadi kena tunggu laporan (polis) itu dahulu," katanya.

Abu Bakar berkata, operasi bas milik syarikat itu juga masih berjalan seperti biasa.

Dalam kejadian 1 pagi tadi, 10 penumpang bas dua tingkat Sani Express maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas itu terbabas dan melanggar pengadang jalan di KM272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.